UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PENSYARAH MUDA PERLU FOKUS JADI AHLI AKADEMIK

PENSYARAH MUDA PERLU FOKUS JADI AHLI AKADEMIK

Tuesday, 09/06/2020

Share This Article :

Sebuah universiti perlu memiliki pensyarah-pensyarah yang mempunyai kepakaran khusus dalam setiap cabang pengajian. Hasil kajian yang berimpak dijalankan oleh para pensyarah turut dijadikan rujukan dalam penyelesaian isu-isu semasa dan juga perancangan jangka masa panjang.

 

Kaedah pengajaran pada masa kini agak jauh perbezaannya jika dibandingkan dengan era sebelum penggunaan platform digital seperti eLearning atau online classroom. Pengajaran di universiti meliputi perkara-perkara seperti aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan, dan penilaian dengan tujuan menyebar ilmu pengetahuan atau kemahiran kepada pelajar-pelajar dengan cara yang berkesan.

 

Setiap pensyarah muda sering diingatkan agar fokus kepada bidang kepakaran terlebih dahulu bagi mempersiapkan diri sebelum memegang jawatan lebih tinggi dalam organisasi.

 

Menurut Prof. Dato’ Ts. Dr. Aziz Deraman, pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik berkata bahawa pengurusan universiti perlu melihat titik keseimbangan kepada pensyarah muda dalam pelantikan jawatan penting yang memerlukan komitmen dan masa yang banyak.

 

“Pensyarah muda perlu memperkukuhkan kepakaran dalam bidang masing-masing terlebih dahulu sebelum mengejar pangkat dan jawatan. Fasa ini penting bagi mencari peluang dan hubungan baik dengan pihak industri serta komuniti”. Ujar beliau yang juga mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu semasa program Bual Bicara Profesor yang diadakan menerusi dalam talian hari ini.  

 

“Kadang kala pensyarah muda tidak mempunyai masa yang banyak untuk menjalinkan hubungan baik dengan pihak industri dan ini membuatkan kualiti kepakaran agak terbatas kerana mereka ini terlalu sibuk dengan urusan pentadbiran organisasi serta mesyuarat yang terlalu banyak”

 

Tambahnya, keseimbangan itu perlu dalam menentukan seseorang pensyarah untuk menjadi ahli akademik dan berada pada laluan yang betul.

 

“Setelah pensyarah muda mempunyai kepakaran, jalinan kerjasama dengan industri dan komuniti serta berada pada tahap tertentu, insyaAllah laluan kenaikan pangkat dan lantikan kepada jawatan penting akan berlaku dengan mudah”. Katanya.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu