UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT, IPB PERKASA BIDANG PERIKANAN DAN PERTANIAN MELALUI MoU

UMT, IPB PERKASA BIDANG PERIKANAN DAN PERTANIAN MELALUI MoU

Monday, 25/11/2019

Share This Article :

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Institut Pertanian Bogor (IPB) sepakat untuk memperkasa bidang perikanan dan pertanian bagi mempertingkatkan kebitaraan bidang tersebut di negara masing-masing.

 

UMT diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Dato’ Nor Aieni Mokhtar menurunkan tandatangan pada dokumen perjanjian manakala IPB diwakili oleh Prof. Dr. Arif Satria, Rektor IPB.

 

“UMT telah mempunyai hubungan rapat dengan Institut Pertanian Bogor (IPB), Indonesia atau dikenali juga sebagai IPB University melalui aktiviti akademik dan pembangunan kakitangan. IPB adalah sebuah universiti yang mempunyai kepakaran dalam aspek pertanian, ilmu kelautan dan perikanan seperti Teknologi Perikanan dan Pengurusan Perikanan”. Kata Prof. Dato’ Nor Aieni Mokhtar ketika berucap dalam majlis tersebut di kampus UMT.

 

Menurut beliau lagi, perjanjian MoU itu juga sebagai platform perkongsian kepakaran dan isu-isu semasa yang dihadapi oleh kedua-dua universiti.

 

“Memorandum persefahaman ini ditandatangani bertujuan untuk mengukuhkan, menganjurkan dan membina kerjasama akademik dan penyelidikan dalam pelbagai bidang dan kepakaran di antara UMT dan IPB serta sebagai platform dalam pertukaran idea juga perkongsian maklumat dan sumber dalam akademik dan penyelidikan untuk melonjakkan kebitaraan kedua-dua universiti.

 

“Antara aktiviti-aktiviti yang dibincangkan adalah melibatkan program latihan industri kepada pelajar pra siswazah UMT dan IPB, program sangkutan kepada kakitangan termasuk pensyarah dan kakitangan sokongan kedua-dua institusi, aktiviti atau jaringan kerjasama penyelidikan, penerbitan dan penganjuran seminar, program pertukaran pensyarah dan kakitangan serta program pengembangan untuk manfaat komuniti setempat.

 

Tambah Prof. Dato’ Nor Aieni, pelbagai program serta aktiviti akan diwujudkan dengan penglibatan aktif pelajar dan kakitangan UMT dan IPB serta penyelidikan secara bersama merentasi negara akan dapat dilaksanakan.

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu