UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

ICTLHE 2017 temukan UMT dan UniSZA demi Kesepunyaan dan Keserakanaan

ICTLHE 2017 temukan UMT dan UniSZA demi Kesepunyaan dan Keserakanaan

Thursday, 02/02/2017

Share This Article :

Kuala Nerus, 1 Feb. – Pendekatan ‘Kesepunyaan dan Keserakanan’ (Commonality & Collegiality) yang digalakkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) telah menemukan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang secara bersama menganjurkan persidangan antarabangsa International Conference on Teaching and Learning in Higher Education (ICTLHE) bermula pada 1 dan 2 Februari 2017 dengan menjadikan kampus UMT hos sebagai hos persidangan yang julung kali diadakan.

Bertemakan ‘Future Teaching & Learning Towards Flexible Education’ yang sejajar dengan dua lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 iaitu Lonjakan 1 – Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang dan Lonjakan 9 – Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global, persidangan ini mendapat kerjasama daripada KPT, Mesyuarat Majlis Ketua-Ketua Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Universiti Awam Malaysia (MAGNETIC), Majlis Ketua-ketua e-Pembelajaran Universiti Awam Malaysia (MEIPTA), Open Learning Global (OLG) Pty Ltd. dengan penyertaan khas daripada Universiti of Tasmania (UTAS), Australia.

ICTLHE 2017 menjadi satu platform penting bagi membincangkan dan berkongsi isu-isu dan pendekatan terkini dalam melaksanakan  pendidikan fleksibel yang membolehkan sistem pendidikan di negara ini direkabentuk semula seiring dengan perkembangan teknologi semasa dan para pelajar boleh menentukan bidang manakah yang hendak mereka pelajari, di mana atau bila mereka hendak belajar.

Menghimpunkan 95 penyertaan dalam dan luar negara, persidangan kali ini menampilkan Yang Berbahagia Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia sebagai perasmi yang juga bakal menyampaikan ucaptama bertajuk “Future Teaching and Learning Towards Flexible Education” disamping para pengucaptama dan penyampai syarahan lain antaranya Profesor Madya Dr. Natalie Brown dari University of Tasmania dan Mr. Adam Brimo, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga merangkap Pengasas Open Learning Global Pty Ltd.

Bagi meneruskan usaha memartabat dan mentransformasikan pendidikan tinggi, UMT bersama-sama Open Learning Global (OLG) Pty Ltd. pada majlis yang sama telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dan seterusnya merasmikan Studio e-Pembelajaran UMT, khusus dibangunkan bagi penyediaan kursus-kursus Massive Open Online Courses (MOOCs) yang berada di bawah jenama UMTMOOCs.

MoA ini menyaksikan pengurniaan lesen kepada UMT untuk menggunakan Harta Intelek yang disediakan oleh OLG untuk penyediaan kursus MOOCs, atau mana-mana kursus blended learning yang bakal dikendalikan oleh UMTMOOCs dan dilaksanakan di Studio e-Pembelajaran yang dilengkapi dengan kemudahan teknologi Augmented Reality (AR).

“UMT merupakan Universiti Awam (UA) pertama di Pantai Timur yang menyediakan Studio e-Pembelajaran dengan teknologi AR yang menjadikan imej kelihatan ‘hidup’ dimana, video utama bagi setiap kursus UMTMOOC dapat dimainkan secara terus dengan aplikasi UMTMOOC-AR yang dimuat turun melalui aplikasi Google Play ke mana-mana peranti mudah alih (telefon pintar atau tablet komputer)”, ujar Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar yang ditemui sejurus selesai majlis.

Perjanjian yang sama telah dilaksanakan bersama-sama sembilan lagi UA yang lain termasuk UniSZA dan dengan plaform MOOCs ini, KPT menyediakan platform khusus kepada para pelajar dan orang ramai yang mengikuti mana-mana kursus MOOCs yang diiktiraf MQA bakal memperoleh pensijilan penuh bagi kursus yang diikuti.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif OLG, En. Adam Brimo, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Profesor Dr. Mahadzirah Mohamad serta para pegawai utama dan kanan dari KPT, UMT dan UniSZA.

 

Untuk Keterangan Lanjut:-

Pusat Perancangan Pembangunan dan Kualiti Akademik (PPPKA)

Universiti Malaysia Terengganu
21030 Kuala Terengganu
Tel      : 609-668 4366/4214
Faks   : 609-668 4383

 

Dikeluarkan oleh:

Pusat Komunikasi Korporat (PKK)

Universiti Malaysia Terengganu

Tel: 09 – 668 5086/ 4339