UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT Wakili Malaysia ke California

UMT Wakili Malaysia ke California

Sunday, 22/07/2018

Share This Article :

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) muncul juara dalam pertandingan peringkat kebangsaan iaitu Enactus Malaysia National Competition (EMNC) 2018 yang diadakan pada 21 Julai 2018 sekaligus mewakili Malaysia dalam pertandingan peringkat dunia yang akan berlangsung di San Jose, California pada 9 Oktober nanti.

Enactus Malaysia National Competition (EMNC) merupakan pertandingan yang dianjurkan oleh Enactus Malaysia setiap tahun. Program ini akan melibatkan kumpulan Enactus di Universiti Awam dan Universiti Swasta seluruh Malaysia membentangkan projek yang dijalankan bagi membantu komuniti dan peranan Enactus sebagai platfom untuk masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana untuk meningkatkan aset mata pencarian mereka.

Kumpulan UMT terdiri daripada 24 pelajar yang diketuai oleh Muhammad Syamil Bin Naseh telah membentangkan tiga projek iaitu Projek POLLEN yang memberi tumpuan kepada konsep pendebungaan di mana para petani menggunakan lebah kelulut sebagai agen pendebungaan untuk meningkatkan kualiti buah-buahan. Projek kedua ialah EASTVEGE yang menumpukan perhatian kepada industri berasaskan timun di negeri Terengganu, telah berjaya memperkasakan usahawan tempatan untuk menghasilkan jus timun, sabun dan produk lain dari ladang timun mereka menerusi penubuhan East Vege Enterprise. Projek terakhir iaitu FERESYS menumpukan pada pembangunan sistem penapisan air di kawasan luar bandar di mana sumber air bersih tidak tersedia dan komuniti itu sendiri bergantung kepada air yang tercemar dan air bersih yang dibeli dari pasaran berhampiran selama 25 tahun dan menerusi projek ini telah memberi manfaat kepada beberapa penduduk kampung di mana mereka sudah mempunyai sistem yang dipasang di rumah mereka seterusnya boleh berkongsi dengan komuniti yang lain.

Menurut Syamil, projek-projek ini dibangunkan setelah beberapa siri kajian dan penyelidikan terhadap komuniti yang disasarkan serta atas kesedaran kumpulan Enactus UMT secara sukarela sebagai platfom untuk membantu komuniti meningkatkan pendapatan dan gaya hidup yang sihat.

“Alhamdulillah, kejayaan ini sangat bermakna buat kami sekumpulan dan merupakan sejarah baharu bagi UMT untuk mewakili Malaysia”

“Terima kasih kepada pihak UMT yang memberi sokongan dan kemudahan kepada kami terutamanya Faculty Advisor yang diketuai oleh Dr. Mohd Shaari bin Abd Rahman (Pengarah Pusat Keusahawanan dan Kerjaya, HEPA UMT), pembimbing, alumni dan semua. Kejayaan ini adalah kejayaan kepada semua warga UMT”.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan UMT.

“UMT amat mengalu-alukan dan menyokong penuh usaha-usaha sedemikian dalam menerapkan budaya nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar. Pihak pengurusan tertinggi UMT amat berbangga dengan kejayaan ini dan diharapkan kejayaan ini menjadi semangat dan dorongan kepada pelajar-pelajar lain untuk mencapai kejayaan”.

 

Untuk keterangan lanjut :

 

Dr. Mohd Shaari Abd Rahman

Pengarah

Pusat Keusahawanan dan Kerjaya

Universiti Malaysia Terengganu

Tel : 017-9308784

Emel : shaari@umt.edu.my

 

 

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu