UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Anugerah Buku Negara 2022 “Kelulutologi” Dinobat Buku Ilmiah Terbaik MAT 2022

Anugerah Buku Negara 2022 “Kelulutologi” Dinobat Buku Ilmiah Terbaik MAT 2022

Tuesday, 13/09/2022

Share This Article :

Kuala Nerus, 12 September 2022– Bertemakan “Meneroka Potensi, Menjulang Kecemerlangan”, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini meraikan kecemerlangan seluruh warga dalam Majlis Anugerah Tahunan (MAT). Majlis anjuran universiti setiap tahun ini bertujuan untuk meraikan kecemerlangan bakat ahli akademik dan staf sokongan akademik yang telah ditunjukkan dalam pelbagai bidang.

Menurut Profesor Dato` Dr. Mazlan Bin Abd Ghaffar, Naib Canselor UMT tema “Meneroka Potensi, Menjulang Kecemerlangan” yang diangkat pada tahun ini menggambarkan warga UMT adalah istimewa kerana sentiasa mencipta ruang dan bijak dalam merebut peluang.

Tambahnya dengan ruang dan peluang yang ada, warga UMT sentiasa mencipta kejayaan natijah dari keupayaan profesional, reputasi dan prestasi kerja yang cemerlang.

Menariknya MAT kali ini turut menobatkan buku Kelulutologi – Merungkai Misteri Kelulut, Alam dan Kehidupan Manusia, yang ditulis oleh Prof. Dr. Shamsul Bahri Bin Abd Razak.

Buku Kelulutologi ini merupakan nukilan  hasil pengalaman penulis menyelidik bidang kelulut selama 10 tahun.  Buku ini mengupas sifat, kepelbagaian dan ciri kelulut, peranan dan hubungan kelulut di dalam melestarikan kehidupan manusia serta alam sekitar serta pengalaman pengembaraan penulis didalam merungkai misteri kelulut Indo-Malaya di negara-negara Nusantara.

Kelulutologi juga mengandungi foto-foto makro kelulut yang cantik dan berwarna-warni. Buku ini sesuai untuk dijadikan rujukan bukan sahaja ahli akademik malah orang awam terutama pengusaha dan peminat kelulut. Buku ini juga telah diulang cetak sebanyak 3 kali.

Untuk rekod, buku tersebut telah menerima Anugerah Buku Negara 2022 (Buku Umum Terbaik (Alam Semulajadi & Penyelidikan) dan turut menerima Anugerah Buku Ilmiah Terbaik (Sains Tulen) dalam kategori Anugerah Julangan Bakat pada hari ni.

Menurut Prof. Dr. Shamsul Bahri pengiktirafan buku Kelulutologi melalui dua anugerah yang diperolehi merupakan hadiah istimewa kepada semua pemain industri kelulut yang selama ini banyak memberi  inspirasi.

Ujarnya lagi anugerah ini menjadi pendorong untuknya terus aktif meneroka “dunia kelulut”.

Sementara itu Profesor Dr. Yusliza Binti Mohd Yusoff yang memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan (Bakat & Penyelidikan), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial telah menerima Anugerah Julangan Bakat melalui kategori Anugerah Kepimpinan Akademik Keseluruhan.

Anugerah Kepimpinan Akademik bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan sanjungan kepada Ahli Akademik UMT yang telah menunjukkan kecemerlangan dan kewibawaan dalam menerajui bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, pemindahan ilmu dan kepimpinan akademik secara holistik di peringkat universiti, negara dan antarabangsa.

Sumbangan dan bakti Profesor Dr. Yusliza kepada UMT memang tidak disangkal lagi melalui  kepakararan beliau di dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia Lestari dan berjaya membawa nama UMT ke peringkat antarabangsa di dalam bidang yang  diceburi sama ada dari segi penerbitan, hubungan kerjasama serta penyelidikan.

UMT turut meraikan seramai 184 orang staf yang menerima anugerah kecemerlangan daripada empat kategori iaitu  Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Khas Naib Canselor dan Anugerah Julangan Bakat.

Profesor Dato` Dr. Mazlan berharap dengan pengiktirafan ini akan menjadi dorongan kearah membudayakan kecemerlangan dalam semua aspek dan menjadi pembakar yang dapat menyuntik semangat serta terus berkhidmat dengan lebih dinamik, dedikasi, berintegriti dan iltizam yang tinggi.

Tambahnya untuk terus mendaki kecemerlangan, bakat Universiti perlu lebih tangkas dan lebih proaktif kepada keperluan semasa dalam sektor pendidikan tinggi. Penggunaan teknologi dan ICT mesti diaplikasikan secara optimum dalam setiap penyampaian perkhidmatan terutamanya proses pengajaran dan pembelajaran serta lain-lain urusan pentadbiran Universiti.

Majlis yang diadakan di Dewan Sultan Mizan, UMT ini turut dihadiri oleh Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, Pihak Pengurusan universiti serta dif-dif jemputan.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu