KUALA NERUS – Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar mengumumkan potongan sebanyak 30 peratus kepada alumni UMT berdaftar bagi penggunaan kemudahan fasiliti milik UMT.

 

Pengumuman itu dibuat ketika berucap sempena Majlis Sambutan Jubli Perak Alumni UMT 2018 yang diadakan baru-baru ini.

 

Menurutnya, keistimewaan itu ditawarkan kepada semua alumni yang bersetuju untuk membantu pihak UMT dalam usaha mewujudkan Skim Biasiswa Alumni UMT bagi membantu pelajar-pelajar baharu yang memerlukan dan mempunyai pencapaian akademik yang baik.

 

“Sumbangan alumni boleh diperluaskan lagi melalui endowmen, wakaf dan sebagainya. Penubuhan Pusat Alumni juga dapat melaksanakan program lanjutan kepada alumni UMT. Ini bermakna, kecaknaan UMT kepada alumni sentiasa menjadi keutamaan. Pelbagai program akan dilaksanakan bagi mengeratkan lagi hubungan dan rasa kecintaan kepada alma mater sebagaimana Pelan Strategik Alumni UMT 2018-2022”.

 

“Alumni merupakan aset penting yang tidak ternilai harganya dan boleh menjamin kelestarian masa depan UMT. Alumni adalah sekelompok kecil “bekas pelajar” yang telah pun bersama-sama kita suatu ketika dahulu, mendapat pendidikan dan pengetahuan di UMT dan kini telah menjadi warga negara berkedudukan. Pada prinsipnya, UMT memberikan perhatian yang serius dalam memperkasa jaringan alumni UMT untuk masa depan yang lebih cemerlang.

 

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UMT, Lt. Kol. (PA) Profesor Madya Ts. Dr. Mohamad Rosni Othman berkata program seumpama ini diadakan bagi tujuan merapatkan hubungan antara alumni dengan UMT.

 

“Pusat Alumni berperanan dalam mengukuhkan jalinan kerjasama dengan syarikat-syarikat alumni UMT serta syarikat-syarikat luar yang akan dijadikan sebagai Alumni Partners. Kerjasama strategik ini dalam bentuk penawaran tempat latihan industri kepada pelajar UMT, menawarkan peluang kerja kepada graduan serta sumbangan kewangan dan kepakaran kepada alma mater.

 

Pada majlis tersebut turut dilancarkan Sistem e-Alumni serta prapelancaran program Terengganu Island Funcations (TIF) hasil usahasama dengan E-Magineers Sdn Bhd.

 

Majlis yang dihadiri lebih 150 alumni itu turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah UMT dan Pegawai-Pegawai Utama UMT.

 

 

Disediakan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu