UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

MYNEXT INISIATIF TALENTCORP BANTU UMT TINGKAT KEBOLEHPASARAN GRADUAN

MYNEXT INISIATIF TALENTCORP BANTU UMT TINGKAT KEBOLEHPASARAN GRADUAN

Sunday, 27/11/2022

Share This Article :

Petaling Jaya, 24 Nov. 2022 – UMT dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) meneruskan hubungan strategik erat menerusi perjanjian persefahaman yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada hari ini yang bakal memanfaat warga mahasiswa/i Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Hasil kerjasama strategik ini bakal menggiatkan pembangunan bakat pelajar dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, mampan serta berkualiti sebagai tenaga kerja dalam dunia pekerjaan pelbagai bidang. Inisiatif hubungan antara industri dan akademia ini juga akan menyokong agenda kebolehpasaran graduan yang digariskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi menerusi Pelan Kebolehpasaran Graduan 2021-2025.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata dalam ucapan beliau, “Kolaborasi antara UMT dan TalentCorp telah bermula sejak 2016 dengan pelbagai penganjuran aktiviti serta program bersasar khusus buat para pelajar UMT. Saya yakin, dengan terjalinnya kerjasama menerusi perjanjian yang ditandatangani ini, pelbagai inisiatif yang di bawa oleh TalentCorp yang bernaung di bawah Kementerian Sumber Manusia akan mendapat sokongan dan penyertaan dari warga pelajar UMT dalam menjayakan agenda yang dipersetujui”.

Ahli Lembaga Pengarah TalentCorp, Dato’ Nazaruddin Bin Abdul Jalil dalam ucapan aluan beliau pula berkata, TalentCorp bertindak sebagai pemangkin dalam memenuhi kelompongan industri dengan menawarkan peluang latihan mempertingkatkan kualiti dan latihan industri buat para mahasiswa/i di institusi pengajian tinggi khususnya di UMT. Wujudnya kerjasama antara UMT dan TalentCorp akan memperlihatkan lagi perkembangan positif dalam pembangunan bakat.

Terkini, TalentCorp telah membangunkan portal mynext yang mengumpulkan para pelajar, universiti, syarikat serta tenaga kerja yang bukan sahaja membantu pelajar meningkatkan kebolehpasaran dan laluan kerjaya mereka, malah portal ini juga menambah nilai kepada para pentadbir berkaitan mendapatkan bakat yang sesuai untuk syarikat serta keperluan pekerjaan masing-masing.

Hadir sama dalam majlis ini adalah Encik Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim selaku Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMT,  Prof. Dr. Fauziah Hj Abu Hasan selaku Pro Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat dan Jaringan Industri) UMT, di samping warga kerja dari UMT dan TalentCorp bertempat di Talent Corporation Malaysia Berhad, Menara Surian, Petaling Jaya Selangor.

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu