UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT teruskan usaha pulihara Al-Quran emas

UMT teruskan usaha pulihara Al-Quran emas

Wednesday, 27/07/2022

Share This Article :

Selari dengan slogan UMT, “Terokaan Seluas Lautan demi Kelestarian Sejagat”, UMT sebagai sebuah universiti awam yang berfokuskan ilmu marin dan kelautan mempunyai fokus yang sangat jelas dalam menjalankan kajian dari aspek sains dan sosial berkaitan marin bahkan meluaskan peranannya dalam memastikan warisan dan budaya bangsa dapat dipelihara untuk generasi akan datang.

 

Manuskrip al-Quran berasal dari Terengganu yang berusia sekitar 100 hingga 200 tahun sememangnya diketahui adalah yang tercantik di Asia Tenggara kerana keindahan dan kemewahan ragam hiasnya serta kehalusan seni penghasilannya. 

Kajian sejarah penghasilan al-Quran menunjukkan, terdapat 11 kesultanan di Asia Tenggara menghasilkan naskah suci itu termasuk Terengganu, Sumatera, Sumbawa dan Acheh yang digunakan untuk tujuan pengajian dan pertabalan sultan.

Kesultanan Terengganu telah menghasilkan al-Quran antara tahun 1800 hingga 1900 dan ini menggambarkan Kesultanan Terengganu sangat menjunjung tinggi kitab suci al-Quran.  Berdasarkan rekod, terdapat 27 manuskrip al-Quran Terengganu yang mana sebanyak lapan manuskrip disimpan di Muzium Negeri Terengganu; tujuh manuskrip disimpan di muzium-muzium lain di Malaysia; lapan lagi manuskrip berada di negara jiran iaitu Indonesia, Singapura dan Thailand; manakala baki empat manuskrip kini dimiliki oleh orang perseorangan.

 

Namun manuskrip yang semakin dimamah usia itu sukar untuk ditatap dengan lebih dekat atau dibelek oleh masyarakat termasuk para pengkaji kerana dikhuatiri menjejaskan keadaan naskah suci tersebut.

 

Bertitik tolak daripada itu, Universiti Malaysia Terengganu melalui Pusat Islam Sultan Mahmud mengambil inisiatif mengadakan kerjasama dengan Lembaga Muzium Negeri Terengganu sejak empat tahun lalu dalam usaha konservasi manuskrip al-Quran Terengganu.

 

Melalui kerjasama ini, UMT telah mendigitalkan enam manuskrip al-Quran Terengganu yang disimpan oleh Muzium Negeri Terengganu, menggunakan teknologi realiti terimbuh (AR) dan menempatkannya di dalam Galeri Digital Warisan Budaya UMT.

 

Masyarakat luar termasuk para pengkaji boleh berkunjung ke galeri digital yang dibangunkan pada Disember 2020 itu untuk melihat setiap helaian manuskrip digital al-Quran dengan lebih dekat dan jelas, seolah-olah seperti melihat naskah yang sebenar.

 

Selain itu, PISM UMT juga telah mengetengahkan empat koleksi manuskrip al-Quran Terengganu dan berjaya diterima untuk diwartakan sebagai Objek Ketara Warisan Kebangsaan.

 

Tanpa menoleh kebelakang, demi memastikan warisan suci itu dihargai diperingkat global, UMT, LMNT dan Jabatan Warisan Negara sedang berusaha untuk mencalonkannya dalam daftar Memory of the World-UNESCO.

 

Jaringan kerjasama antara UMT dan LMNT akan diperkukuh melalui MOU yang dimetrai ini. Dengan adanya kerjasama ini, diharap usaha konservasi manuskrip Al-Quran dapat diteruskan dengan lebih tersusun dan pada masa akan datang galeri digital di UMT ini dapat mengumpul dan mendigitalkan kesemua manuskrip al-Quran Terengganu yang kini berada di seluruh Asia Tenggara.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu