UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Cadangan Peta Laluan Bot Penambang Potensi Memperhebat Sektor Pelancongan Kuala Terengganu

Cadangan Peta Laluan Bot Penambang Potensi Memperhebat Sektor Pelancongan Kuala Terengganu

Sunday, 26/09/2021

Share This Article :

Sektor pelancongan negeri Terengganu telah memperlihatkan potensinya dalam menyumbang ke arah pembangunan ekonomi terutamanya dalam penjanaan pendapatan dan peluang pekerjaan. Kedudukan Terengganu di kawasan pesisir pantai adalah antara daya tarikan utama pelancong domestik dan antarabangsa. Dengan kemajuan sektor ini, ia secara tidak langsung dapat menjana pendapatan penduduk setempat terutamanya penyedia perkhidmatan pengangkutan air dan darat.

 

Perkhidmatan bot penambang di Kuala Terengganu sememangnya masyhur dalam kalangan penduduknya dan dijadikan sebagai pengangkutan air utama pada suatu ketika dulu. Namun, disebabkan oleh arus pemodenan semasa dan dipengaruhi oleh faktor lain, ia semakin terpinggir. Ini dapat dilihat dengan penurun mendadak jumlah penumpang yang memilih menaiki bot penampang kerana kelajuan yang terhad, rupa bentuk bot yang tidak menarik hati penumpang, destinasi bot yang terhad dan peningkatan pemilikan kenderaan persendirian.

 

Selain itu, TTI River Cruise berpangkal di Pulau Wan Man menawarkan pelbagai pakej perkhidmatan bot menyusuri Sungai Terengganu yang memuatkan 20 penumpang dalam satu perjalanan bot dengan reka bentuk bot yang baharu dan tampak moden turut menyebabkan tradisi bot penambang semakin dilupakan.

 

Tambahan pula, industri kecil ini tidak menerima perhatian daripada pihak swasta dan berwajib bagi mengekalkan warisan pengangkutan air bagi meneruskan perkhidmatan bot penampang. Lebih parah, pengusaha-pengusaha bot penambang kini menghadapi cabaran yang amat getir berikutan wabak Covid-19 menjadikan jumlah pelanggan semakin berkurang yang turut menjejaskan pendapatan mereka.

 

Justeru, sekumpulan penyelidik dari Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu terdiri daripada Prof. Madya. Ts. Dr. Mohamad Rosni Othman, Dr. N. Muhammad Aslaam Mohamed Abdul Ghani, Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen, Dr. Masha Nur Salsabiela Menhat dan Nur Hazwani Karim telah berjaya menghasilkan sebuah novel peta laluan bot penambang menelusuri perairan Sungai Terengganu.

 

Projek melalui kerjasama Pusat Logistik dan Pengangkutan Maritim Malaysia (MaLTraC) ini mendapat penajaan daripada Pusat Pemindahan Ilmu Dan Jaringan Industri di bawah Knowledge And Technology Assimilation Grant Scheme. Dengan terhasilnya novel peta laluan ini bukan sahaja boleh meningkatkan  pendapatan pengusaha-pengusaha bot daripada purata RM1500 kepada RM5000 sebulan, malah ia juga mampu menawarkan perkhidmatan pelancongan yang bermutu.

 

Selain itu, novel peta laluan bot penambang boleh meningkatkan rantaian bekalan dan menarik minat belia untuk menjadikan karier di sektor pengangkutan air ini di masa akan datang. Perancangan yang teliti telah dirangka serta  pengkhususan kemahiran dan latihan yang sewajarnya juga akan dicadangkan kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran.

 

Menurut Ketua Penyelidik, Profesor Madya Ts. Dr. Mohamad Rosni Othman, novel peta laluan ini dijangka dapat membantu kelestarian perkhidmatan bot penambang di Terengganu seterusnya meningkatkan pendapatan pengusaha dan mutu perkhidmatan. Ini adalah satu inisiatif bagi mengekalkan tradisi perkhidmatan bot penambang di Sungai Terengganu yang telah mula beroperasi sejak tahun 1950an.

 

Jika sebelum ini, perjalanan bot penambang hanya berfokuskan perkhidmatan ke Pasar Besar Kedai Payang dari pengkalan jeti Seberang Takir. Dengan peta laluan yang baharu ini, 6 destinasi baharu telah diperkenalkan antaranya Pulau Duyong, Pulau Kambing, Kampung Bukit Datu, Kampung Losong, Pulau Wan Man dan Pulau Rusa. Model ini dilihat sebagai sebuah perubahan atau transisi perkhidmatan bot penambang berstruktur.

 

Usaha untuk merealisasikan novel peta cadangan ini mendapat kerjasama yang baik dengan pihak berkuasa tempatan iaitu Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melalui penwartaan Sistem Laluan bot-bot penambang yang baharu merangkumi 8 destinasi di perairan Sungai Terengganu.

 

Selain itu, projek ini turut mendokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 14 yang digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memulihara dan menggunakan sumber lautan dan marin secara mampan. Pendekatan cadangan turut memberi tumpuan bagi mengurangkan pencemaran Sungai Terengganu dari pengangkutan air. Dengan demikian, tindakan ekstensif wajar mengambil kira faktor sosial, ekonomi, tadbir urus lautan dari segi dasar, tindakan dan hal-hal yang berkaitan untuk menjaga kesejahteraan dan kelestarian lautan.

 

Sesungguhnya, pengurusan kawasan pesisir pantai dan perairan sungai memerlukan pendekatan yang lebih berintegrasi di mana perancangan komprehensif bukan sahaja hanya perancangan strategik, tetapi perlunya tindakan dan usaha untuk merealisasikannya.  Secara tidak langsung, ini dapat meningkatkan imej pelancongan di negeri Terengganu dan juga kesiapsiagaan menghadapi gelombang peningkatan pelancong selepas kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat.

 

Disediakan oleh :

Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen

Pensyarah Kanan

Fakulti Pengajian Maritim

Universiti Malaysia Terengganu.

 

 

Dikeluarkan oleh : 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu