UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Tiga universiti awam dekati komuniti nelayan

Tiga universiti awam dekati komuniti nelayan

Friday, 17/02/2021

Share This Article :

Kewujudan  universiti bukan sahaja untuk melahirkan anak bangsa yang berilmu tinggi, malah turut menyumbang kepada komuniti setempat.

Melihat keperluan yang diperlukan masyarakat setempat, pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil inisiatif turun padang bersama-sama Universiti Sultan zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendekati komuniti setempat yang rata-rata merupakan nelayan dan juga kumpulan B40.

Program berbentuk kolaborasi strategik dikalangan universiti awam itu dilihat mampu memberi impak positif dalam usaha penyebaran maklumat berkaitan akademik, kesihatan, wabak, penternakan serta peluang-peluang penjanaan ekonomi menerusi program pemindahan ilmu.

Selaras dengan matlamat universiti untuk masyarakat (U4S), penganjuran program ‘Jom Carre Komuniti Nelayan’ itu menghubungkan masyarakat dan menara gading secara terus selain merapatkan jurang antara akademia dan komuniti setempat.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata penganjuran program bersifat serampang dua mata itu bertepatan dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi bagi membantu komuniti setempat serta sebagai medan penyebaran ilmu berkaitan pemuliharaan alam sekitar.

“Sebagaimana saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di mana setiap hasil inovasi yang dibangunkan oleh universiti perlulah diterjemah dan disampaikan kepada pemegang taruh merangkumi pelajar, komuniti, dan industri.

“Selari dengan misi UMT iaitu “Menjana Ilmu Untuk Kesejahteraan Masyarakat dan Kelestarian Alam”, UMT amat peka berkaitan isu-isu yang membelenggu nelayan seperti tangkapan yang semakin berkurangan, saiz ikan yang semakin mengecil, perubahan jenis ikan di pesisiran pantai, peralatan perikanan yang semakin kurang efektif dan kekurangan kawasan tumpuan ikan.

“Justeru, UMT telah mengambil inisiatif menangani isu-isu dengan cara menyumbang kepakaran dari segi membina unjam dan tukun tiruan menggantikan habitat yang telah musnah serta mewujudkan habitat baharu bagi sumber perikanan, pengenalpastian lokasi teranas yang sesuai mengikut jenis dan saiznya menggunakan teknologi pemetaan dan pengubahsuaian alatan perikanan dari segi saiz, bentuk dan injap”. Katanya.

Tambah beliau, UMT komited  dalam mentransformasikan kehidupan nelayan dengan merekacipta bot moden nelayan katamaran yang memenuhi spesifikasi yang diperlukan serta mampu memberikan impak yang lebih tinggi kepada pembangunan sosioekonomi nelayan dan kelestarian industri perikanan negara.

Pelbagai aktiviti yang dihidangkan kepada pengunjung seperti ceramah Perkongsian Ilmu Perikanan dan penternakan, Program Ceramah Motivasi Pelajar, Sukaneka Kanak-kanak dan Dewasa, Pertandingan Mewarna dan Melukis (Kanak-Kanak), gerai jualan, Pameran serta  Pemeriksaan Kesihatan percuma.

Disamping itu juga, agenda menyemarakkan dan membudayakan gaya hidup sihat turut diselitkan melalui perkhidmatan konsultansi kesihatan dan pemilihan makanan berdasarkan gizi seimbang.

Program ‘Jom Carre Komuniti Nelayan’ itu turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato’ Profesor Dr. Husaini Omar yang turun padang bagi merasmikan program tersebut.

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu