UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

COVID-19 : UMT UTAMAKAN KEBAJIKAN DAN KESELAMATAN PELAJAR

COVID-19 : UMT UTAMAKAN KEBAJIKAN DAN KESELAMATAN PELAJAR

Thursday, 19/03/2020

Share This Article :

Kuala Nerus, 19 Mac. – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memandang serius dan amat menitikberatkan akan bantuan serta kebajikan pelajar-pelajar dalam usaha memastikan aset penting itu sentiasa berada dalam keadaan baik serta terkawal ekoran penularan wabak COVID-19.

 

Bagi menggerakkan pelan tindakan tersebut, satu mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dam Alumni) UMT, Prof. Madya Dr. Hafiz Zakariya telah diadakan hari ini.

 

Menurut Dr. Hafiz, mesyuarat itu telah memutuskan beberapa pelan tindakan yang akan dilaksanakan khusus untuk kebajikan dan keselamatan warga pelajar.

 

“UMT melalui Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) bersedia memberi sumbangan berjumlah RM70,000.00 kepada pelajar yang kekal berada dikampus. Permohonan untuk mendapatkan bantuan ini perlu dibuat melalui aplikasi atas talian MyEhsan.

 

Tambah beliau, UMT juga bersetuju untuk memulangkan semula wang dibelanjakan oleh pelajar untuk pembelian tiket perjalanan pulang ke kediaman yang terjejas.

 

“Pihak pengurusan UMT juga peka akan kesulitan pelajar yang telah mengeluarkan wang untuk pembelian tiket perjalanan pulang ke kediaman masing-masing semalam namun tidak mendapat kelulusan oleh pihak universiti. Untuk itu, pihak UMT akan membayar semula harga tiket yang telah dibeli atau terjejas semalam.

 

“Sebagai langkah proaktif, kita akan pastikan lima cafeteria dalam kolej kediaman dibuka sepanjang tempoh arahan pihak kerajaan yang berkuatkuasa bagi memastikan pelajar mendapat bekalan makanan yang mencukupi. Perkhidmatan penghantaran makanan juga dibenarkan bagi mengelakkan pelajar keluar kampus secara berkumpulan.

 

“Selain itu, kumpulan Act of Kindness (AOK) yang telah beroperasi semenjak beberapa tahun dahulu dalam memberi sumbangan makanan percuma kepada pelajar yang memerlukan turut mengambil bahagian dalam mengagihkan barangan keperluan bagi membantu pelajar yang memerlukan.

 

Menurutnya lagi, pihak UMT akan mewujudkan Bilik Gerakan COVID-19 sebagai pusat rujukan serta mendapatkan info perkembangan terkini berkaitan inisiatif dan pelan tindakan sekiranya memerlukan bantuan sepanjang tempoh arahan oleh pihak kerajaan berkuatkuasa.

 

Para pelajar disarankan untuk mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa serta mengambil langkah-langkah pencegahan sepertimana saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar mengingatkan pelajar supaya bersabar dan tenang serta tidak keluar daripada kampus demi keselamatan dan kesihatan diri daripada wabak COVID-19.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu