UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali dilantik Sebagai Pro-Canselor UMT

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali dilantik Sebagai Pro-Canselor UMT

Thursday, 14/3/2024

Share This Article :

Kuala Nerus Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah selaku Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengampuni perkenan melantik Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara sebagai Pro-Canselor UMT untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa pada 1 Mac 2024 hingga 28 Februari 2027. Pada masa kini, Tan Sri Samsudin Osman juga merupakan Pro Canselor UMT.

Anak jati Terengganu ini memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

Pengalaman yang luas dalam bidang pengurusan dan pertadbiran kerajaan telah melayakkan beliau menerima pelbagai anugerah. Sebagai mengiktiraf sumbangan dan kebolehan dalam perkhidmatan, beliau telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara sejak 31 Disember 2019.

Dari segi latar belakang perkhidmatan, beliau juga pernah dilantik menyandang jawatan Setiausaha Sulit Kanan Kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-13 dari 2006 hingga 2011 dan kemudiannya sebagai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 2015 hingga 2016. Beliau juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak pada 2016 dan Timbalan Setiausaha Kanan Kerajaan pada 2019.

UMT yakin dengan pengalaman dan ketokohan Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, pelantikan ini akan membantu dalam melonjak citra UMT sebagai institusi pendidikan tinggi berfokus marin yang terunggul dalam negara dan disegani di peringkat global.

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu