UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT menang besar dalam Anugerah Buku Negara 2017

UMT menang besar dalam Anugerah Buku Negara 2017

Tuesday, 02/05/2017

Share This Article :

Kuala Lumpur, 2 Mei – Tahun 2017 merupakan tahun cemerlang bagi Penerbit UMT, Universiti Malaysia Terengganu dimana empat (4) naskhah penerbitan mereka telah memenangi empat (4) kategori dalam Anugerah Buku Negara 2017 bersempena penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017.  

Anugerah-anugerah berkenaan adalah kategori Buku Zoologi Terbaik yang dimenangi oleh pengarang Profesor Dato’ Dr. Mohd Tajuddin Abdullah melalui buku bertajuk “Evolusi dan Biogeografi Mamalia Malaysia” dan penulisan beliau berkisarkan pendokumentasikan penemuan baharu dan pencapaian sains sepanjang beliau terlibat dalam kajian bersama-sama dengan pelajar-pelajar dan penyelidik-penyelidik bersekutu sepanjang 30 tahun.

Buku nukilan Pengarah Penerbit UMT, YH Dato’ Prof. Madya Dr. Noraien Mansor bertajuk “Tan Sri Samsudin Osman Demi Perkhidmatan Awam dan Negara Kerana-Nya Jua” turut memenangi kategori Buku Biografi Pentadbiran Terbaik dan pengarang telah menggarap persona Tan Sri Samsudin Osman sebagai pentadbir penuh pengalaman sepanjang perkhidmatan beliau untuk negara Malaysia.

Penerbit UMT juga telah memenangi kategori Buku Ilmiah Terbaik nukilah pengarang Muhammad Hafiz Sulaiman dan Chong Ju Lian menerusi naskhah “Tenggiling Sunda Khazanah Alam Malaysia” dan kategori Buku Terjemahan Terbaik menerusi naskhah “Ikan Lut Sinar” nukilan Ying Giat Seah dan Mazlan Abd Ghaffar yang merupakan terjemahan daripada bahasa Mandarin terbitan National Museum of Marine Biology and Aquarium (NMMBA), Taiwan. 

Majlis penganugerahan berkenaan telah disampaikan dalam dua (2) sesi penyampai berbeza yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 2 Mei 2017 bersempena dengan penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 28 April sehingga 7 Mei 2017.