UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Projek perintis MMT jana pendapatan sampingan OKU penglihatan

Projek perintis MMT jana pendapatan sampingan OKU penglihatan

Monday, 13/11/2023

Share This Article :

Sekumpulan sepuluh warga orang kelainan upaya (OKU) menerima bantuan peralatan penanaman Melon Manis Terengganu (MMT) selepas berjaya menamatkan kursus pendek anjuran penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Penyelidik Sains Tanaman di Fakulti Perikanan dan Sains Tanaman UMT, Ts. Dr. Wan Zaliha Wan Sembok berkata, projek berbentuk pemindahan ilmu itu merupakan usaha berterusan UMT bagi membantu golongan OKU cacat penglihatan menjana pendapatan sampingan.

“Melihat kepada kesulitan serta cabaran golongan OKU cacat penglihatan meneruskan kehidupan, pihak kami melalui kerjasama beberapa agensi dan NGO memulakan inisiatif mewujudkan projek Blind Planters bagi membantu golongan memerlukan menjana kewangan sendiri berasaskan limitasi kemampuan dan pergerakan.

“Asasnya, kita perkenalkan modul braille kaedah penanaman MMT kepada mereka untuk memudahkan proses pemindahan ilmu secara teori.

Katanya, setiap peserta dibantu oleh ahli keluarga masing-masing bagi memudahkan peserta melakukan aktiviti penanaman secara amali di lokasi masing-masing.

Menurut Dr. Zaliha, projek perintis yang dijalankan itu berjaya mengeluarkan hasil 150 biji MMT dengan anggaran nilai pulangan RM1500.

“Kita berjaya tuai hasil projek perintis yang kita jalankan hari ini sekitar 150 biji. Purata berat hasil tuaian hari ini juga 1.3kg. Satu musim tanaman melon ini mengambil masa tiga bulan dan menjadikan purata jumlah pendapatan sampingan kira-kira RM500 sebulan hasil daripada penanaman MMT sahaja.

Tambahnya, inisiatif itu merupakan kesinambungan daripada siri projek pemindahan ilmu yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti hidup melibatkan golongan B40.
“Pelbagai projek lain yang telah kami jalankan dan berjaya mengubah taraf ekonomi golongan sasar seperti projek tanaman syuran secara hidroponik, tanaman cendawan, tomato ceri, strawberi, salad dan lain-lain.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Cacat Penglihatan Terengganu (SBM), Mohd Imranfaisal Zulkifli melahirkan rasa syukur atas bantuan yang dberikan oleh UMT dan juga agensi terlibat.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada UMT atas bantuan perkongsian ilmu kepada golongan OKU seperti kami. Penanaman melon ini masih boleh dilakukan oleh kami (Cacat Penglihatan) dengan bantuan ahli keluarga. Kami juga berterima kasih kepada Yayasan Hasanah atas sumbangan dana bernilai RM250,000 bagi penyediaan peralatan penanaman melon manis terengganu ini dan kami akan cuba lakukan sebaik mungkin untuk membaiki kualiti kehidupan kami”. Katanya.

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu