UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

MINGGU JALINAN MESRA PENYESUAIAN DIRI MAHASISWA KE ALAM KAMPUS

MINGGU JALINAN MESRA PENYESUAIAN DIRI MAHASISWA KE ALAM KAMPUS

Thursday, 05/09/2019

Share This Article :

Kuala Nerus- Kejayaan mahasiswa pada hari ini adalah hasil pengorbanan ibu bapa yang mendidik, bakti guru-guru yang menyampaikan ilmu tanpa mengharapkan balasan penghargaan dan pihak kerajaan yang menyediakan peluang pendidikan. Kini adalah masanya untuk semua mahasiswa mengejar segulung ijazah dengan keazaman dan kesungguhan yang tinggi.

 

Sebagai keluarga baharu Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Minggu Jalinan Mesra yang bermula 3-5 September memberi peluang kepada semua pelajar untuk mengenali UMT dan keunikannya sebagai sebuah universiti yang berfokuskan marin dan sumber akuatik.

 

Menurut Profesor Dato` Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar, Naib Canselor UMT yang ditemui selepas Ikrar Pelajar Baharu Ijazah sesi 2019/2020 semalam berkata sepanjang tempoh pengajian di UMT ini, para pelajar perlu bijak menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus. 

 

“Kehidupan    di kampus memerlukan pelajar berdikari dan berminda terbuka selain pergaulan luas dan matang dengan rakan-rakan yang lain. Bukan sahaja berpeluang bergaul dengan rakan-rakan dari Malaysia, malah rakan-rakan dari pelbagai Negara”.

 

Tambahnya lagi Sistem pembelajaran di universiti adalah berbeza dengan sistem pembelajaran di sekolah. Justeru para pelajar perlu cepat menyesuaikan diri dengan situasi baharu ini.

 

Mengulas lanjut mengenai kebajikan pelajar sebagai pemegang taruh utama UMT amat dititik beratkan selain menyediakan kemudahan dan perkhidmatan asas, UMT juga mengambil inisiatif untuk memastikan para pelajar yang kurang berkemampuan mendapatkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

 

Di antara usaha yang tampak kecil tetapi memberi impak yang besar kepada pelajar adalah melalui Projek Gerobok Rezeki dan Act Of Kindness (AOK) dan projek AOK yang diusahakan bagi membantu pelajar yang memerlukan dan kurang berkemampuan melalui penyediaan makanan dan barangan keperluan percuma kepada pelajar. Bantuan ini merupakan hasil sumbangan oleh staf dan pihak luar yang prihatin. 

 

UMT juga telah menyediakan beberapa tabung yang dapat membantu pelajar yang memerlukan seperti Tabung Kebajikan Pelajar, Zakat dan Wakaf. Oleh itu, pelajar-pelajar yang menghadapi kesempitan boleh berjumpa atau menghubungi dengan pegawai di Pusat Islam, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan juga pensyarah-pensyarah di UMT.

 

Profesor Dato` Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar turut menyeru para mahasiswa untuk sentiasa fokus kepada pelajaran, membuat perancangan pembelajaran dengan teliti dan menetapkan azam untuk belajar bersungguh-sungguh bermula dari semester pertama lagi.

 

Selain pengisian akademik, banyak aktiviti berkaitan pembangunan sahsiah diri sentiasa dirancang dan dikendalikan untuk para pelajar. Pelajar seharusnya sentiasa berdamping rapat dengan Pusat Pengajian dan mempunyai hubungan yang baik dan akrab dengan Pengerusi Program dan Pembimbing Siswa. Begitu juga, jalinan ukhwah yang baik dengan para senior, kelab pelajar dan kolej siswa juga adalah penting.

 

Di samping itu juga, bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni turut menganjurkan pelbagai program kemahasiswaan bagi menerap dan memupuk jati diri pelajar ke arah melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran insaniah yang berkualiti tinggi. Hasil garapan aktiviti akademik dan aktiviti pembangunan sahsiah diri yang diikuti, pelbagai kejayaan telah dikecapi oleh para pelajar UMT.

 

Selain itu, antara kelebihan yang bakal dirasai oleh para pelajar, UMT  mempunyai satu program flagship iaitu Program Survival Laut dan Penghayatan Warisan di Pulau Bidong yang akan dilalui oleh semua pelajar yang mendaftarkan diri di UMT. Mahaiswa akan didedahkan dengan aktiviti yang sangat menarik seperti berenang, snorkeling, meneroka tapak peninggalan pelarian Vietnam dan sebagainya.

 

Seramai 1879 mahasiswa UMT melafazkan ikrar pelajar baharu sesi 2019/2020 pada 4 September lalu bertempat di Dewan Sultan Mizan sekaligus mereka secara rasminya menjadi sebahagian keluarga besar UMT.

 

 

Dikeluarkan oleh:

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu