UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Aset canggih penting dalam menjalankan penyelidikan

Aset canggih penting dalam menjalankan penyelidikan

Saturday, 10/07/2021

Share This Article :

KUALA NERUS – Sebuah universiti tidak lengkap jika tiada aktiviti penyelidikan yang dilakukan oleh warganya. Namun setiap penyelidikan memerlukan beberapa aspek sokongan terutamanya dalam bentuk sokongan fasiliti canggih dan terkini.

RV Discovery merupakan sebuah vesel penyelidikan yang menjadi kebanggaan warga Universiti Malaysia Terengganu (UMT) khususnya bagi mereka yang terlibat dalam program berasaskan sains marin, penyelidikan berasaskan sains nautika dan teknologi maritim.

Pembinaan RV Discovery adalah hasil cetusan idea mantan rektor pertama Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) yang kini dikenali sebagai UMT, Prof Dato’ Dr Mohamed Mahyuddin Mohd Dahan berhasrat untuk memiliki sebuah vesel latihan dan penyelidikan untuk kegunaan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan universiti.

RV Discovery merupakan vesel penyelidikan UMT yang pertama dilengkapi dengan peralatan saintifik yang canggih dan berupaya melaksanakan aktiviti penyelidikan samudera yang boleh mencecah kedalaman 2,000 meter dasar laut. Keupayaan kemudahan peralatan penyelidikan marin itu menjadi pilihan penyelidik untuk menjayakan sesuatu penyelidikan marin diperairan Laut China Selatan mahupun Selat Melaka.

 

Menurut Amiruddin Sulong, Penolong Pegawai Laut yang juga merupakan kapten RV Discovery, antara tanggungjawab utama yang perlu diselaraskan adalah menguruskan pendaftaran dan keselamatan pelayaran, latihan teknikal maritim dan hal ehwal krew pelaut serta pelabuhan.

“Kapten turut berperanan dalam membantu menyelaras projek pembangunan, membuat kajian dan penilaian terhadap konvensyen antarabangsa serta perundangan kelautan”. Ujar beliau yang berpengalaman dalam mengemudi pelayaran bersama kapal komersil Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia Berhad (MISC).

Tambah Amiruddin, kemahiran ilmu mengemudi kapal bukan hanya perlu dipelajari melalui teori dan buku semata-mata, malah perlu dilalui sendiri secara praktikal sepanjang proses pembelajaran. Pengalaman yang dilalui menjadikan seseorang itu layak digelar kapten kapal yang ‘lengkap’.

Sementara itu, Profesor Dr Mazlan Abd Ghaffar, yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMT berkata, vesel  penyelidikan dan latihan yang berkapasiti dengan kelajuan 12 knot itu digunakan untuk sistem pengajaran & pembelajaran warga UMT terutamanya aktiviti pelajar.

“Aset canggih seperti RV Discovery ini sangat diperlukan oleh universiti seperti UMT kerana mempunyai bidang tujahan berkaitan ilmu kelautan. Dengan dilengkapi peralatan penyelidikan yang moden dan terkini, ia mampu memberi nilai tambah dalam menghasilkan graduan yang dinamik seiring dengan perkembangan keperluan industri maritim”.

Antara pencapaian RV Discovery adalah melaksanakan aktiviti penyelidikan melibatkan organisasi penyelidikan marin seperti Jabatan Mineral serta Galian, universiti awam, Petronas dan juga dari luar negara seperti Pusat Kajian Marin China, Jabatan Warisan Negara Belanda dan juga sewaan untuk projek tertentu yang dilaksanakan setiap tahun.

Istimewanya, RV Discovery juga pernah terlibat dalam beberapa siri program Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) di Langkawi dan juga telah melaksanakan pelayaran saintifik yang merangkumi perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka serta melibatkan penyelidikan yang berimpak tinggi oleh penyelidik dari dalam dan luar negara.

Peri pentingnya sokongan fasiliti moden dan terkini dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ia bukan sekadar membantu, malah kecanggihan tersebut mampu mengubah sesuatu penyelidikan kepada skala yang lebih tinggi dan seterusnya menyumbang kepada keperluan negara.

 

Disediakan oleh :

Tengku Nuriah Tengku Abdul Rahman

Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL)

Universiti Malaysia Terengganu

HP : 0139309606

Email : tgnuriah@umt.edu.my

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu