UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT JADI TUAN RUMAH SEBAR KEPRIHATINAN PENGURUSAN AIR SEJAGAT

UMT JADI TUAN RUMAH SEBAR KEPRIHATINAN PENGURUSAN AIR SEJAGAT

Wednesday, 21/08/2019

Share This Article :

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos 2019 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi tuan rumah dalam penganjuran Kem Pemimpin Muda Prihatin Air Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 dengan penglibatan UNESCO – International Hydrological Programme (UNESCO-IHP) Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Perlis dengan kerjasama Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia serta agensi-agensi rakan UNESCO-IHP Malaysia.

Penganjuran program itu juga adalah sejajar dengan matlamat 2030 Agenda for Sustainable Development yang telah diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (United Nations) iaitu melalui Sustainable Development Goal 6 (SDG 6): Clean Water and Sanitation berfokuskan kepada keupayaan pengurusan air dan sanitasi yang mampan untuk semua.

Antara objektif utama program adalah untuk memberi pendedahan serta kefahaman tentang status, peluang serta cabaran menguruskan sumber air Negara serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menguruskan sumber air dengan bijak serta secara mampan bagi menjamin kesinambungan kehidupan serta kelangsungan generasi akan datang.

Malaysia melalui JPS, UNESCO – IHP serta universiti awam berperanan menyahut matlamat PBB bagi mencapai global prosperity dengan melaksanakan kem itu dengan sasaran peserta daripada pelajar dan guru sebagai pemangkin generasi yang akan datang bagi tujuan  meningkatkan kesedaran kepentingan pengurusan air demi kelestarian sejagat.

Seramai 50 orang peserta terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah dari negeri Terengganu, Kelantan, Pahang dan Sarawak serta 10 orang guru pembimbing dari Pantai Timur Malaysia.

Penglibatan pelajar dalam program itu dilihat secara tidak langsung menjadi ejen untuk perubahan dalam kalangan ahli keluarga, rakan dan masyarakat setempat.

Kem Pemimpin Muda Prihatin Air yang berlangsung selama dua hari itu bermula 20 Ogos 2019 telah dirasmikan oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar.

Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia, Dato’ Abdullah Isnin serta Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah JPS Malaysia.

 

Dikeluarkan oleh :

Pusat Komuniasi Korporat

Univerisiti Malaysia Terengganu