Kuala Nerus, 21 April 2019 – Warga Universiti Malaysia Terengganu (UMT) khususnya para pensyarah diingatkan supaya memberi penekanan berkaitan penulisan artikel berimpak tinggi dan dijadikan sumber rujukan oleh pelbagai pihak.

 

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata sesebuah universiti dipandang tinggi oleh masyarakat dunia sekiranya penyelidikan dan penerbitannya dirujuk.

 

“Penerbitan adalah tugas hakiki penting yang mesti dipenuhi oleh semua pensyarah. Ahli akademik tidak boleh lari dari lima tugas utama iaitu pengajaran, penerbitan, penyeliaan, perundingan dan khidmat masyarakat.

 

“Suka atau tidak, sesebuah universiti akan cemerlang dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia apabila penyelidikan dan penerbitannya dirujuk. Bagi mencapai hasrat tersebut, semua penerbitan perlulah diterbitkan dalam penerbitan yang berimpak tinggi sahaja. Saya hanya menekankan kepada penerbitan yang diterbitkan dalam Web of Science atau dikenali sebagai Jurnal Penerbitan yang berstatus ISI dan bukannya jurnal yang tidak berindeks”. Ujar beliau yang kini menjalankan fungsi Naib Canselor UMT.

 

Tambah beliau, warga kerja UMT samada pensyarah mahupun kumpulan sokongan akademik perlu meningkatkan kecekapan kerja dari aspek pengurusan masa dan lebih kreatif dalam melaksanakan tanggungjawab tanpa menunggu arahan daripada peringkat atasan serta dibawah seliaan yang minima.

 

Beliau ditemui ketika berucap sempena Majlis Perhimpunan Bersama Warga UMT bertempat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT yang dihadiri oleh pegawai utama, pegawai kanan, pensyarah dan kumpulan sokongan akademik.

 

Sementara itu, turut dilancarkan Tabung Fastabiqul Khairat 7.0 yang diselaraskan oleh Pusat Islam Sultan Mahmud UMT sempena ketibaan bulan Ramadan tidak lama lagi untuk diagihkan kepada asnaf seperti penyediaan iftar dan lain-lain.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu