UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

RAMADAN PKP TINGKAT TAHAP KESABARAN DIRI DALAM BERSOSIAL

RAMADAN PKP TINGKAT TAHAP KESABARAN DIRI DALAM BERSOSIAL

Tuesday, 04/05/2021

Share This Article :

Aktiviti ibadat puasa dalam Ramadan 1442H/2021 tahun ini dilaksanakan dalam situasi dunia kini bergelut dengan pandemik Covid-19. Norma baharu dengan Prosedur Operasi Standard SOP dan Perintah Kawalan Pergerak PKP terus dijalankan dan harus dipatuhi sedaya mungkin agar pandemik ini dapat dihilangkan segera.

 

Ramadan dalam situasi PKP memberi cabaran yang baru kepada masyarakat Muslim kerana mereka perlu berpuasa dalam keadaan kebanyakan waktunya berada di rumah. Sekaligus keadaan ini merubah aktiviti yang biasanya dilakukan di rumah seperti di masjid, kedai, warung, pejabat terpaksa dibataskan dan meluangkan masa di kediaman masing-masing.

 

Hakikatnya, secara tidak sedar situasi ini mampu menyingkap tahap kesabaran diri dalam bersosial. Apabila berada di rumah, masyarakat berhadapan dengan cabaran penggunaan gajet dan telefon pintar secara meluas, begitu juga mampu bersosial melalui media dan aplikasi atas talian tanpa had. Jika tiada kawalan iman dan takwa, ia akhirnya mensia-siakan puasa dan Ramadan itu sendiri.

 

Puasa tanpa pengawasan iman dan takwa tidak akan memberi sebarang ganjaran disisi Allah SWT berdasarkan dua hadis Nabi Muhammad SAW “Betapa ramai orang yang puasa akan tetapi tidak mendapatkan apa-apa dari puasanya, kecuali lapar dan dahaga” (Riwayat al-Nasa’i dan Ibnu Majah).

 

Hadis kedua, “Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta dan pengamalannya, maka Allah SWT tidak berhajat kepada amalanya iaitu dengan meninggalkan makanan dan minuman” (Riwayat al-Bukhari).

 

Jika dilihat pada Key Performance Indicator KPI ibadat puasa itu sendiri, ia berobjektif menjadikan seseorang Muslim itu bertakwa berasaskan dalil berikut, “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (al-Baqarah, 2:183).

 

Maksud umum bagi bertakwa ialah melakukan setiap suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan Allah SWT. Hal ini bermaksud puasa bukanlah pada definisi yang biasa difahami orang awam iaitu menahan diri dari lapar dan dahaga, bahkan merangkumi semua ibadat-ibadat yang lain sama ada sunat mahupun wajib.

 

Termasuk dalam takwa ketika berpuasa ialah meninggalkan perkara haram yang dilihat remeh oleh masyarakat iaitu seperti bergosip, membawang, memfitnah, mengumpat, mengata dan sebagainya. Jika dahulu ia hanya dapat dilakukan secara bersemuka, namun kini ia boleh dilakukan secara maya di media sosial.

 

Walau apa keadaan sekalipun, ia tetap haram dan dikira berdosa disisi Allah SWT. Realitinya, orang berpuasa haruslah bersabar menahan diri dari melakukan perkara tersebut. Bahkan Nabi Muhammad SAW mengisyaratkan bahawa “Puasa itu adalah separuh sabar” (Riwayat al-Tirmizi).

 

Sabar mempunyai tiga kategori iaitu sabar dalam mentaati Allah SWT, sabar dalam menjauhi laranyan-Nya dan sabar menghadapi ketetapan ujian dari Allah SWT (Lata’if al-Ma’arif)

 

Setiap perkara yang difardukan Allah SWT menuntut kesabaran, lebih-lebih lagi ibadat puasa kerana balasannya tidak ternilai tertakluk kepada Allah SWT, maka tahap kesabaran itu juga amatlah tinggi. Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa “Setiap amalan anak Adam adalah baginya kecuali puasa. Sesungguhnya puasa adalah untuk-Ku, dan Akulah yang layak memberi pembalasan terhadapnya” (Riwayat al-Bukari).

 

Berdasarkan haids ini, ibadat puasa disandarkan kepada zat-Nya adalah berbeza dengan amalan ibadat lain, ia mempunyai dua tafsiran oleh para sarjana. Pertama ialah puasa bererti meninggalkan kesenangan diri dan keinginan semula jadi semata-mata kerana Allah SWT.

 

Apabila keinginan seseorang memuncak terhadap sesuatu yang disukainya, sedangkan ia mampu melakukannya, namun ia meninggalkannya kerana Allah SWT dalam situasi yang tidak diketahui sesiapa melainkan Allah SWT, maka itulah bukti keutuhan takwa dan iman seseorang.

 

Maksud kedua pula, puasa merupakan rahsia antara hamba dengan tuhannya. Hal ini kerana, tiada seseorang pun mengetahui puasa seseorang lain kerana ia terbina daripada niat dalam diri yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Dan juga meninggalkan segala perkara yang disukai hawa nafsu yang biasanya boleh dilakukan secara sembunyi.

 

Apabila kedua-dua maksud ini dapat dihayati dan diamalkan, nescaya tahap sabar dalam bersosial secara fizikal dan maya dapat ditingkatkan. Semua budaya negatif, memfitnah, bergosip dan mengumpat dapat dihindari sedaya mungkin oleh mulut dan tangan.

 

Ketahuilah bahawa setiap tulisan di media sosial itu adalah berpunca daripada hati seseorang dan bukan pada tangan dan niat semata-mata. Ia dinilai oleh sahabat-sahabat maya yang lain. Akhirnya, akan dihisab oleh Allah SWT, dosa dan pahalanya dikira sejak di dunia dan kekal sehingga akhirat kelak.

 

Oleh itu, jangan jadikan puasa itu sia-sia hanya kerana menganggap perkara itu remeh. Berusahalah untuk tidak terlalu memberi komen yang negatif atau tulisan-tulisan yang tidak perlu. Mulakan diri untuk berkongsi caption yang positif agar dapat manfaatnya kepada sahabat maya yang lain.

 

Firman Allah SWT “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada keesaaan dan mematuhi perintah Allah SWT, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam” (Fussilat, 41:33).

 

 

Penulis :

 

Dr. Abdul Hanis Bin Embong

Pensyarah Kanan

Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan

Universiti Malaysia Terengganu

 

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu