UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT TERJEMAH PENYELIDIKAN KEPADA PEMBANGUNAN SOSIOEKONOMI SEDILI

UMT TERJEMAH PENYELIDIKAN KEPADA PEMBANGUNAN SOSIOEKONOMI SEDILI

Monday, 28/08/2023

Share This Article :

Bertepatan dengan slogan ‘Universiti untuk Masyarakat’, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi tampil bersama komuniti melalui Program Mesra Rakyat dan Pelepasan Benih Ketam Nipah Bersama Komuniti Sedili Kecil. Program telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di Legaran Nelayan Sedili Kecil, Kota Tinggi.

 

Program ini diadakan selaras dengan saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di mana

setiap hasil penyelidikan yang dilaksanakan oleh universiti perlu diterjemah dan disampaikan

kepada pemegang taruh merangkumi pelajar, masyarakat dan industri. Susulan program Semarak Komuniti Kota Tinggi yang diadakan pada Mei lalu yang mendapat reaksi positif daripada komuniti, UMT meneruskan kesinambungan dengan mengadakan program pelepasan kira-kira 10,000 benih Ketam Nipah di kawasan Sungai Sedili Kecil.

 

Program ini berpotensi memberikan impak dalam meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan selain membantu meningkatkan populasi Ketam Nipah di kawasan Sedili Kecil selaras dengan hasrat menjadikan populasi ketam itu kekal lestari pada masa hadapan.

 

Peranan institusi pendidikan tinggi terus diperluas bukan sahaja dilaksanakan di lokaliti

berdekatan, malah meletakkan aspek kesesuaian dan keperluan setempat seiring dengan

potensi kawasan yang terlibat selaras dengan saranan YB Menteri Dato’ Seri Mohamed Khaled agar KPT menekankan elemen ekonomi MADANI yang merangkumi 4P iaitu Penyediaan Bakat, Penyelidikan & Inovasi, Pemindahan Ilmu dan Pengantarabangsaan bagi memperkasakan pendidikan tinggi Malaysia.

 

Program yang dilaksanakan pada hari ini bersama KPT, UMT dan komuniti merupakan elemen Tanggungjawab Sosial di mana prinsip tanggungjawab sosial mengharuskan institusi-institusi pendidikan tinggi untuk mengakui peranan mereka dalam memajukan kesejahteraan sosial. Ini boleh dicapai melalui program-program yang memberi tumpuan kepada pemberdayaan masyarakat, penyelidikan yang relevan dengan isu-isu sosial, dan kerjasama dengan sektorsektor lain untuk mencipta impak positif seperti yang dijalankan hari ini.

 

Menurut Naib Canselor UMT Profesor Dato` Dr. Mazlan bin Abd Ghaffar, UMT sentiasa menitikberatkan tiga (3) peranan utama universiti, iaitu penjanaan ilmu  baharu melalui penyelidikan berimpak, penyebaran ilmu baharu terutamanya melalui program akademik berkualiti kepada pelajar serta pemindahan ilmu berasaskan penyelidikan khususnya dalam usaha mengemukakan penyelesaian dihadapi masyarakat serta aspek naik taraf komuniti setempat.

 

Tambahnya Usaha murni UMT ini secara tidak langsung dapat membantu memberi kesedaran selain dapat menjana pendapatan bagi sumber perikanan masyarakat di Sedili Kecil dan kawasan sekitarnya selain meletakkan komitmen tinggi untuk menstransformasi kehidupan nelayan melalui aktiviti penyelidikan dan program pemindahan ilmu yang berimpak sebagai sumbangan kepada pembangunan sosioekonomi khususnya kepada kumpulan nelayan dan seterusnya kelestarian industri perikanan di kawasan Sedili.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu