UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Program JMKM Siswa ringan beban pelajar universiti

Program JMKM Siswa ringan beban pelajar universiti

Sunday, 30/10/2022

Share This Article :

Rata-rata rakyat di negara ini masih lagi terkesan dengan pandemic Covid-19 yang melanda dunia dua tahun lalu. Pasca Covid-19 menyaksikan kumpulan yang hilang mata pencarian mula bangkit demi meneruskan kelangsungan hidup.

Pelajar juga tidak terkecuali daripada dihempap masalah kewangan. Keberadaan di kampus secara fizikal memerlukan perbelanjaan lebih dalam mengisi keperluan pengajaran dan pembelajaran ditambah dengan ketua keluarga yang baru ‘merangkak’ dalam membawa keluarga ke situasi yang lebih selesa.

Namun, rintihan mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sentiasa mendapat perhatian daripada pengurusan tertinggi universiti. Kebajikan pelajar yang sering dicanang oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT terbukti seiring dengan pelan tindakan serta pelaksanaan program bantuan yang telah dijalankan.

Terkini, menerusi Program Jualan Murah Keluarga Malaysia Siswa (JMKMSiswa), pelajar UMT dapat menikmati barangan keperluan harian dan alat tulis dengan harga istimewa.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata pelbagai inisiatif dan program bantuan telah diperkenalkan khas untuk pelajar.

“Antara bantuan yang telah diberikan seperti Bantuan Khas Covid-19, Bantuan Kemudahan Pembelajaran seperti komputer riba dan pelan data internet, Bantuan Makanan Percuma melalui program AOK dan Gerobok Rezeki, Bantuan Khairat Kematian, talian e-Kaunseling dan sebagainya.

“Menerusi Program JMKM Siswa dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) ini, ia dapat membantu para pelajar UMT untuk membeli barangan keperluan asas dengan harga yang lebih rendah seperti barangan keperluan harian, keperluan penjagaan diri, tambah nilai prabayar komunikasi serta keperluan pembelajaran.

Menurutnya, sejumlah lebih RM558 ribu telah digunakan bagi program pemberian bantuan kepada kumpulan pelajar terpilih dengan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan, koperasi, swasta, NGO dan individu dalam bentuk sumbangan tajaan.

Turut hadir bagi merasmikan pelancaran program JMKM Siswa iaitu Dato’ Wan Hisham Wan Salleh, Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen merangkap Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Terengganu.

Program JMKM Siswa telah diperkenal dan dilancarkan di institusi pengajian tinggi lembah Klang oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 19 Oktober lalu.

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu