UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Dari peneroka felda ke pemegang ijazah doktor falsafah

Dari peneroka felda ke pemegang ijazah doktor falsafah

Monday, 21/03/2022

Share This Article :

Setiap kejayaan pasti melalui pelbagai halangan dan liku.

Namun bagi Nurulafifah Yahya, rintangan yang terbentang di sepanjang laluan kejayaan hanyalah sekadar duri kecil yang membuatkan dirinya lebih kuat dalam menempuh cabaran.

 

Hari ini, dia telah membuktikan bahawa keperitan hidup yang dilalui bukanlah penghalang untuknya menggenggam ijazah doctor falsafah dalam bidang oseanografi sempena Majlis Konvokesyen UMT ke-19.

 

Uniknya, pentas kejayaan itu turut dikongsi oleh adiknya, Nurul Ezzah Yahya yang turut bergraduasi selepas berhempas pulas selama tiga tahun untuk mencapai cita-citanya menggenggam segulung ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan.

 

Berlatarbelakang keluarga miskin, perjalanan hidup penuh dengan ranjau dan liku. Lebih pilu apabila bapanya yang menjadi tulang belakang keluarga dijemput ilahi ketika mereka masih kecil.

 

Tugas membesarkan mereka sekeluarga terpaksa digalas oleh ibunya yang membanting tulang untuk membesarkan enam anak-anaknya.

 

Ibunya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap hanya mengharapkan hasil kebun sebagai sumber pendapatan utama bagi menyara keluarga selain menggunakan kemahirannya sebagai tukang jahit bagi menampung perbelanjaan.

 

Anak kedua yang berasal Felda Maokil, Johor itu bertekad membalas jasa ibunya dengan menghadiahkan segulung ijazah peringkat tertinggi buat satu-satunya insan yang tersayang yang telah berkorban seluruh jiwa dan raga bagi memastikan kesemua zuriatnya mendapat pendidikan yang cukup.

 

Bagi Nurulafifah, hanya pendidikan mampu mengubah nasib keluarganya yang tidak mempunyai harta dan wang untuk memastikan permata hatinya berasa bangga.

 

Kesukaran sepanjang bergelar mahasiswa amat mencabar buat dirinya terutamanya ketika mehadapi masalah kewangan.

 

Namun, pemegang ijazah doktor falsafah itu mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi masalah yang dibelenggu.

 

Menurutnya, pelbagai pekerjaan telah dilakukan sepanjang berada di kampus bagi menampung keperluan hidup.

“Saya pernah menjadi lab demonstrator membantu pensyarah menguruskan kelas amali untuk subjek Oseanografi Biologi, Pencemaran Akuatik, Fungsi Biologi Organisma Marin dan Kerja Lapangan. Saya juga pernah terlibat dalam pengajaran Bengkel Asas Oseanografi untuk Pegawai Hidrografi TLDM.

 

“Saya juga banyak menjadi pembantu penyelidik (RA) untuk beberapa projek konsultan di bawah Institut Oseanografi dan Sekitaran, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin dan Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan.

 

Demi menampung hidup, perasaan malu seolah tidak wujud dalam kamus hidupnya.

 

“Selain itu, saya juga pernah menjual nasi lemak, kuih dan kerepek dari pintu ke pintu di asrama. Malu tidak membawa kemajuan dalam diri saya dan ianya perlu dibuang jauh untuk mencapai kejayaan.

 

Menurutnya, pengalaman dijemput menghadiri program sangkutan di luar negara amat mengujakan.

 

“Semasa pengajian, saya pernah menyertai program Evolutionary and Taxonomic Diversity of Marine Invertebrates selama sebulan di St. Petersburg State University di Rusia. Saya pergi berseorangan dan itu merupakan pengalaman pertama menyertai program di luar negara. Saya bertuah dapat menyertai program tersebut dan mendapat sebahagian tajaan dari St. Petersburg State University bagi melakukan persampelan di White Sea yang pastinya berbeza dengan ekosistem yang kita ada di Malaysia.

 

Walaupun perlu melalui pelbagai cabaran, Nurulafifah turut mengambil peluang menyertai aktiviti-aktiviti luar bagi perkembangan ‘softskill’ dirinya sebagai persediaan menempuh alam pekerjaan kelak.

 

“Saya aktif sebagai volunteer Pasor Percuma Ganu Kita (PPGK). Saya juga aktif sebagai volunteer dan fasilitator untuk program-program kesedaran marin yang dianjurkan oleh UMT dan WWF.

 

“Saya pernah mendapat tajaan sepenuhnya (travel grant) bagi Program Overseas Training Course on China – Malaysia Multidisciplinary Ocean Observation Technology, Malaysia dan 3rd International Conference on Southeast Asian Gateway Evolution, Indonesia”.

Katanya, semangat juang dan iltizam yang tinggi mampu menjadikan seseorang lebih kuat dalam menempuh pelbagai cabaran hidup. Hidup adalah perjuangan!

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu