UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT RAIKAN GRADUAN DALAM NORMA BAHARU SECARA FIZIKAL

UMT RAIKAN GRADUAN DALAM NORMA BAHARU SECARA FIZIKAL

Wednesday, 08/12/2021

Share This Article :

Kuala Nerus, 6 Disember- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini meraikan 2,878 graduan dalam istiadat Konvokesyen Ke-18 (Siri KeDua) dalam suasana meriah sungguhpun dalam situasi norma baharu.  Konvokesyen Siri Ke Dua ini diadakan secara fizikal sepenuhnya dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

Majlis Konvokesyen yang bermula pada 6 hingga 13 Disember ini melibatkan tujuh sidang iaitu sesi pagi sahaja bagi memberi ruang kerja-kerja sanitasi dijalankan pada sebelah petang.

 

Pro Canselor UMT Yang Berbahagia Tan Sri Samsudin bin Osman menzahirkan rasa bangga terhadap para graduan kerana telah berjaya melepasi satu fasa dalam penerokaan ilmu walaupun bergelut dengan tekanan pandemik COVID-19.

 

“Tahniah dan syabas juga kepada pihak pengurusan UMT yang sentiasa memastikan kualiti akademik serta komited dalam memacu pendidikan negara yang berkesan terutama dalam situasi sekarang.

 

“Saya berharap semua warga UMT Cemerlang  dapat sama-sama berganding bahu dalam melonjakkan dan memperkasa lagi citra UMT, bagi memastikan UMT terus unggul dalam arena pendidikan dan penyelidikan. Sekaligus menyumbang kepada komuniti serta negara”.

 

Sementara itu Naib Canselor UMT Profesor Dr. Mazlan bin Abd Ghaffar dalam ucapannya berkata ancaman daripada wabak COVID-19 ini telah mengubah norma kehidupan termasuklah lanskap sistem pendidikan negara.

 

Tambahnya senario pendemik ini memberi hikmah untuk kita sama-sama bangkit daripada zon selesa dan bertindak untuk sentiasa releven dengan situasi semasa khususnya dalam survival kehidupan era digitalisasi.

 

“Para graduan perlu bersedia dan cekal untuk menghadapi realiti dunia pekerjaan yang sangat mencabar serta perlu beradaptasi dengan situasi semasa, fleksibel dan mengenal pasti kemahiran-kemahiran baharu yang diperlukan majikan.

 

“Selain itu, para graduan perlu berani dalam meneroka bidang perniagaan yang terbuka luas dan menjanjikan peluang pendapatan tanpa had serta sikap integriti dan berilmu yang merupakan gagasan universiti yang sangat penting”. Ujarnya.

 

Tambahnya lagi UMT sentiasa prihatin untuk memenuhi keperluan para pelajar.  Pelbagai usaha telah ditingkatkan bagi memastikan sumber intelektual dan fizikal di UMT digerakkan untuk membantu para pelajar.

 

“Alhamdulillah pada tahun ini, Bantuan Kebajikan Prihatin Pelajar telah disalurkan sejumlah RM550 Ribu merangkumi, bantuan komputer riba, elaun sukarelawan, subsidi penginapan pelajar, swab test dan sebagainya. Bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban para pelajar untuk meneruskan pembelajaran dengan lebih selesa dan lancar”.

 

Malah Pada Konvokesyen kali ini juga UMT turut mengagihkan pelitup muka kepada semua graduan sebagai tanda penghargaan dan sokongan UMT kepada mereka.

 

Turut diraikan dalam konvokesyen kali ini adalah graduan sulung bagi Program Sarjana Teknologi Maklumat dan Sains Komputer. Tujuh daripada mereka merupakan rakan sekerja di Pusat Ekosistem Digital, UMT. Kesemua graduan berkenaan merupakan Pegawai Teknologi Maklumat dan juga Penolong Pegawai Teknologi Maklumat.

 

Mereka ialah Wan Mohd. Wazir Wan Abdul Wahab, 43; Ahmad Nazir Haron, 43; dan Abdul Rahim Abu Bakar, 39, yang menerima Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat.

 

Manakala empat yang lain merupakan penerima Ijazah Sarjana Sains Komputer iaitu Tajul Arifin Abd. Manan, 45; Mohamad Jazli Shafizan Jaafar, 44; Nordin Abd. Rasid, 38; dan Mohd. Erman Safawie Che Ibrahim, 32.

 

Untuk rekod, Konvokesyen Ke-18 (Siri Ke Dua) ini mengurniakan ijazah kepada 2,878 graduan yang terdiri daripada 52 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 152 penerima Ijazah Sarjana, 2,559 penerima Ijazah Sarjana Muda dan 115 penerima Diploma.

 

Konvokesyen ke-18 siri pertama yang diadakan pada 27 Mac 2021 secara hibrid sebelum ini, turut mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Teknologi kepada Laksamana Pertama (Bersara) Dato’ Ir. Haji Ahmad Murad bin Haji Omar dan anugerah Profesor Emeritus kepada Profesor Emeritus Ir. Dr. Ahmad bin Jusoh.

 

Turut hadir dalam Konvokesyen kali ini ialah YBhg. Tan Sri Samsudin bin Osman, Pro-Canselor UMT, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azhar bin Abbas, Pengerusi Lembaga Pengarah universiti, Ahli-ahli Lembaga Pengarah universiti, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pegawai-pegawai Utama universiti.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat (PKK)

Universiti Malaysia Terengganu