UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PENANGGUHAN KEMASUKAN SEMUA PELAJAR BAHARU DAN SEDIA ADA BAGI SESI AKADEMIK 2020/2021 UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU (UMT)

PENANGGUHAN KEMASUKAN SEMUA PELAJAR BAHARU DAN SEDIA ADA BAGI SESI AKADEMIK 2020/2021 UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU (UMT)

Monday, 05/10/2020

Share This Article :

Kemasukan semula pelajar baharu dan pelajar senior Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Sesi 2020/2021 yang dijadualkan pada 04 sehingga 08 Oktober 2020 ke kampus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah DITANGGUHKAN.

Langkah UMT ini selaras dengan kenyataan media oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 02 Oktober 2020 yang mencadangkan kepada semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menangguhkan dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka pelajar-pelajar baharu dan senior ke kampus.

Bilangan pelajar baharu yang telah mendaftar untuk Sesi 2020/2021 adalah berjumlah 2,480 pelajar iaitu 94 peratus daripada jumlah tempat yang ditawarkan sebanyak 2,628 tempat.

Minggu Jalinan Mesra (MJM) telah dilaksanakan dari 27 September sehingga 29 September 2020 manakala Majlis Ikrar Pelajar Baharu berjaya dilaksanakan pada 29 September lalu melalui aplikasi Webex dan secara maya (dalam talian) yang dihadiri oleh lebih daripada 2,000 pelajar, Dekan-dekan dan Pegawai-pegawai Utama UMT.

UMT telah mengaturkan jadual pendaftaran pelajar mengikut fakulti secara berfasa bermula pada 4-8 Oktober 2020. Berikutan daripada peningkatan kes positif COVID-19 dan arahan daripada pihak KPT, pihak UMT telah memutuskan untuk menangguhkan kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus.

Mengikut jadual asal, hari ini merupakan hari pertama pelajar mendaftar di Kolej Kediaman UMT. Setakat jam 2.00 petang, UMT telah menerima sebanyak 12 orang pelajar yang telah mendaftar di Kolej Kediaman UMT dan daripada jumlah tersebut, dua orang pelajar telah memilih untuk tinggal di Kolej Kediaman. Manakala seramai 623 pelajar dalam kalangan pelajar Asasi STEM, Diploma, pelajar antarabangsa dan pemimpin pelajar masih berada di  kolej kediaman.

Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian (online) bagi semua program pengajian akan bermula pada 11 Oktober hingga 31 Disember 2020.

Bagi membantu proses PdP dalam talian, UMT dengan kerjasama Yayasan YTL telah menyediakan inisiatif pelan data secara percuma kepada semua pelajar baharu. Maklumat terkini berkenaan inisiatif ini boleh dirujuk di laman Facebook Rasmi UMT dari semasa ke semasa.

Hampir 300 pelajar telah dikenal pasti tidak mempunyai kemudahan peralatan pembelajaran dalam talian. Untuk tujuan itu, UMT akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada golongan sasar yang telah dikenal pasti.

UMT telah memperuntukkan lebih RM0.667 juta untuk kebajikan pelajar yang terdiri daripada golongan B40 dan golongan asnaf. Sumbangan kepada golongan sasar ini akan disalurkan dalam masa terdekat.

UMT menyambut baik dan menyokong usaha KPT yang berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan berkenaan penjadualan semula tiket penerbangan serta tiket bas pelajar yang terkesan daripada penangguhan ini. Untuk maklumat lanjut, para pelajar boleh berhubung dengan pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT.

Bagi pelajar yang berada di kampus, pihak UMT menyediakan kemudahan kafeteria dan koperasi untuk pelajar bagi pembelian makanan dan keperluan harian.

UMT prihatin dengan kesihatan emosi para pelajar dengan menyediakan talian khidmat kaunseling yang dapat dihubungi menerusi talian 019-953 0132 (Pn. Hainany Idayu)

Sebarang pertanyaan, maklum balas mahupun apa-apa yang berkaitan dalam situasi semasa, talian Hotline Bilik Gerakan COVID-19 UMT boleh dihubungi menerusi talian 09-668 5059 / 4286 / 4296

 

 

YBHG. PROF. DATO’ NOR AIENI BT HAJI MOKHTAR

NAIB CANSELOR

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

 

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

Tel: 09-668 4418 / 4100

4 Oktober 2020