UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Kerjasama UMT-industri penting tangani isu makanan negara

Kerjasama UMT-industri penting tangani isu makanan negara

Saturday, 29/10/2022

Share This Article :

Peningkatan populasi manusia telah mendorong berlakunya tekanan terhadap stok makanan. Krisis ini bukan hanya melibatkan negara tertentu, malah isu ini telah dibincangkan di peringkat global.

Malaysia juga tidak terkecuali dengan krisis makanan yang melanda dunia. Walaupun negara kita juga sebagai pengeluar makanan tertentu, namun ia tidak mampu untuk menampung permintaan yang meningkat saban tahun selain perlu bergantung kepada negara pengeksport lain.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) juga diberi mandat dalam menjalankan kajian berkaitan rantaian bekalan makanan serta keselamatan makanan (Food Security).

Penubuhan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) pada 2004 telah banyak memberi impak dalam sektor perikanan dan akuakultur. AKUATROP bertindak sebagai pusat penyelidikan utama dalam menyediakan khidmat kepakaran serta kelengkapan fasiliti terbaik negara.

Penyelidkan yang digerakkan fokus terhadap isu kecukupan makanan dan kelestarian sumber dengan memulihkan populasi bernilai tinggi yang dieksploitasi secara berlebihan sehingga menjejaskan populasi dan pembiakan (breeding stocks) semulajadi. Program ini dilakukan menerusi kaedah pembenihan dan pelepasan semula bagi beberapa spesis yang mendapat permintaan tinggi seperti ketam, udang, ikan air tawar dan sebagainya.

Penglibatan industri amat penting bagi menyokong ekosistem ‘supply and demand’ terhadap stok makanan negara. Pelbagai perkongsian dan program libatsama dilakukan oleh penyelidik AKUATROP UMT bagi membantu pemain industri aqua-pertanian melalui program pembangunan induk, kaedah pembiakbakaan, formulasi makanan baharu yang lebih efisien dalam usaha mengekalkan kestabilan harga pasaran.

Kerjasama erat antara UMT dan industri terus ‘subur’ setelah majlis menandatangani dokumen perjanjian persefahaman antara UMT dan pemain industri terkemuka dalam bidang akuakultur dan perikanan marin, Ain Aquaculture Sdn Bhd.

Syarikat akuakultur yang memfokuskan bidang penetasan dan pembiakan ikan marin itu merupakan usaha yang strategik dilakukan UMT dalam memastikan rantaian bekalan makanan dalam keadaan terkawal.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidkan dan Inovasi) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata AKUATROP UMT telah memainkan peranan penting seiring penubuhan dan pengiktirafan yang diperoleh.

“Sektor perikanan dan akuakultur mempunyai peranan penting dalam pembangunan ekonomi di banyak negara.

“Penternakan dan akuakultur merupakan penyumbang utama kepada bekalan makanan serta sebagai sumber pekerjaan dan sector ini membuka peluang kepada penduduk menjana pendapatan terutamanya komuniti pesisir pantai di rantau ini.

“Kami berdepan dengan cabaran hebat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terutamanya berkaitan isu keselamatan makanan dan pemakanan.

“Memandangkan perikanan tangkapan mempunyai hadnya, industri akuakultur sebagai alternatif yang mampu diperhebatkan untuk menghadapi cabaran ini”. Ujar beliau ketika majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara UMT dan Ain Aquaculture Sdn. Bhd. Yang berlangsung di UMT baru-baru ini.

Akuatrop UMT telah mendapat pengiktirafan sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCOE) khusus Teras Penyelidikan dan Inovasi bagi menyokong Dasar Keselamatan Makanan Negara di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Antara program teras yang diberi penekanan oleh AKUATROP menerusi pengiktiran itu ialah ‘Aquaculture Resource Sustainability’, ‘Aquaculture Breeding Technology’, ‘Aquaculture Green Technology’ dan ‘Fish Health and Food Quality Assurance’.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Mlaaysia Terengganu