UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

COVID-19 : Ramadan dalam norma baharu

COVID-19 : Ramadan dalam norma baharu

Tuesday, 13/04/2021

Share This Article :

Penghulu segala bulan yang sentiasa dinantikan telah tiba iaitu bulan Ramadan, bulan yang penuh keistimewaan dan keberkatan serta membawa seribu kerahmatan kepada umat islam. Bahkan, kehadiran bulan Ramadan pada setiap tahun amat dirindui kerana terdapat peristiwa yang berlaku pada bulan tersebut. Antara peristiwa yang terjadi adalah kemenangan di dalam Peperangan Badar al-Kubra yang berlaku pada 17 Ramadan dan dapat memasuki kota Mekah yang disebut sebagai Fath al-Fakkah pada ketika itu.

Selama dua tahun berturut-turut seluruh dunia telah dilanda pandemik COVID-19 dan sehingga kini pandemik COVID-19 masih lagi belum berakhir. Secara tidak langsung, bulan Ramadan pada tahun ini disambut dalam keadaan agak berbeza berbanding tahun sebelumnya dimana rakyat Malaysia menyambut bulan ramadan mengikut Prosedur Amalan Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengurangkan penularan wabak COVID-19. Walaupun pandemik ini sedikit sebanyak merubah norma baharu kehidupan masyarakat namun hubungan silaturahim sesama manusia hendaklah dijaga.

Di samping itu, jika dibandingkan dengan tahun lepas, bulan Ramadan disambut dalam keadaan peraturan yang ketat akan tetapi sambutan bulan Ramadan pada kali ini dapat disambut dalam suasana lebih baik. Bazar Ramadan tidak dapat beroperasi pada tahun lalu ekoran kes Pandemik COVID-19 yang semakin meningkat ketika itu, namun kini bazar Ramadan telah mula beroperasi seperti sedia kala, bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada pandangan dan arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menariknya, buat pertama kali bazar Ramadan dianjurkan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau lebih dikenali sebagai Kuala Terengganu Drawbridge, justeru, rakyat Terengganu pasti tidak akan melepaskan peluang untuk merasai pengalaman baharu membeli-belah juadah serta berbuka puasa sambil melihat keindahan suasana sekitar mercu tanda baharu itu.

Pembukaan semula bazar ramadan pada tahun ini dapat membantu meningkatkan kembali pendapatan para peniaga yang terjejas sebelum ini. Selain itu, masjid dan surau juga mula dipenuhi umatnya tanpa mengira golongan dan usia bagi menunaikan solat terawih beramai-ramai. 

Semoga musibah pandemik ini memberikan rahmat dan peringatan kepada seluruh umat islam agar lebih bertaqwa. Marilah sama-sama memperbanyakkan amal ibadah sepanjang bulan yang mulia ini kerana nikmat ibadah sempena ramadan tidak dijamin bila berakhirnya.  

 

Disediakan oleh :

Nur Alya Syafiqa Che Mohd Radin

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu