UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

COVID-19 : UMT Teruskan Kempen Kesedaran Ekosistem Marin

COVID-19 : UMT Teruskan Kempen Kesedaran Ekosistem Marin

Sunday, 14/06/2020

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan program sambutan hari lautan sedunia yang turut disambut masyarakat dunia tanggal 8 Jun setiap tahun.

 

Mengikut amalan tradisi UMT sebagai penganjur program World Oceans Week (WOW) sejak lebih 10 tahun lalu, program itu merupakan inisiatif sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang memfokuskan bidang sains kelautan dan sumber akuatik dalam melindungi ekosistem marin yang kian terancam.

 

Program tersebut juga sebagai tanggungjawab sosial korporat UMT dalam menyemai kecintaan terhadap persekitaran marin dalam kalangan warganya dan juga masyarakat agar menjaga kepentingan laut yang memberi kesan kepada kehidupan manusia.

 

Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT (INOS), Prof. Madya Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata sambutan WOW pada tahun 2020 agak berbeza dibandingkan dengan pengisian program pada sebelumnya.

 

“UMT sebagai sebuah institusi berfokus marin yang mendapat pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara serta sering dijadikan rujukan oleh agensi luar dan juga media. Pihak kami menggalas tanggungjawab penting dalam mendidik serta menyebarluaskan pemahaman berkaitan kepentingan ekosistem laut. Ia merupakan nadi kehidupan manusia dalam membekalkan makanan, oksigen serta pengawalan aturan iklim dunia.

 

“Penganjuran program pada kali ini agak berbeza kerana hampir keseluruhan program dilakukan dengan menggunakan platform digital disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang menjadi musuh dunia. Namun kajian dan penyelidikan yang pasukan kami jalankan perlu dihebahkan kepada masyarakat umum dalam bentuk yang lebih mudah difahami bagi bagi menyampaikan mesej sebenar. Ini penting agar masyarakat peka dan mampu ubah sikap serta tingkahlaku supaya setiap apa jua yang dilakukan hendaklah memikirkan kesan terhadap alam sekitar terlebih dahulu terutamanya alam marin.

 

Katanya, usaha menyebarkan kempen kesedaran laut itu sejak beberapa tahun lalu telah membuahkan hasil dimana penerimaan respon yang amat baik daripada peserta pertandingan lukisan dan penghasilan video pendek yang telah dianjurkan dalam tempoh yang singkat.

 

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar turut menyatakan sokongan dalam kempen kesedaran marin.

 

“Tahniah dan syabas kepada semua terutamanya INOS UMT kerana berjaya menganjurkan sambutan WOW pada kali ini dengan baik walaupun aktiviti fizikal seperti program bersih pantai, program pemindahan ilmu dengan masyarakat serta pelajar sekolah tidak dapat diadakan. Dengan menggunakan kreativiti dan teknologi, Alhamdulillah program ini berjaya direalisasikan dan yang paling utama adalah mesej penyebaran ‘Kita Jaga Laut Kita’ sampai kepada segenap masyarakat”. Katanya.

 

Untuk keterangan lanjut :

 

Prof. Madya Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir

Pengarah

Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS)

Universiti Malaysia Terengganu

019-2830385

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu