UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT RAI CETUSAN IDEA DAN PENEMUAN BARU DALAM PENYELIDIKAN MARITIM DI PERINGKAT ANTARABANGSA

UMT RAI CETUSAN IDEA DAN PENEMUAN BARU DALAM PENYELIDIKAN MARITIM DI PERINGKAT ANTARABANGSA

Monday, 25/10/2021

Share This Article :

Umum mengetahui bahawa industri maritim mempunyai potensi besar dalam meningkatkan kemajuan serta menjamin kemakmuran ekonomi dunia. Justeru, pembangunan industri maritim memerlukan integrasi teknologi digital yang lebih canggih bagi kelestarian ekosistemnya.

Menyedari akan kepentingan ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) komited memberi peluang perkongsian penemuan baru dan pencapaian inovasi terkini dalam penyelidikan maritim dikalangan ahli akademik, penyelidik, pemain industri, jurutera, penggubal dasar tempatan dan antarabangsa.

UMT menjadi tuan rumah bagi Persidangan Antarabangsa Advanced Intelligent Maritime Safety and Technology 2021 (Ai-MAST 2021) kali ketujuh yang telah berlansung selama tiga hari bermula pada 16hb hingga 18hb Oktober 2021. Persidangan ini telah berjaya dilaksakan secara atas talian melalui platform WEBEX di bawah anjuran Fakulti Pengajian Maritim, UMT dengan kerjasama Mokpo National Maritime University dan telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof Dr. Mazlan Abd. Ghaffar.

Bertemakan ‘Merevitalisasi Pembangunan yang Berkesinambungan untuk Revolusi Strategik dalam Industri Perdagangan, Pelayaran, Pelabuhan, dan Logistik ke arah Meningkatkan Akses Menyeluruh’, Persidangan Antarabangsa Ai-MAST 2021 dilihat sebagai platform terbaik bagi penyelidik untuk berkongsi dapatan kajian dan penemuan baru.

Seramai 90 penyelidik tempatan dan antarabangsa, terdiri dari negara Malaysia, Brunei Darussalam, Sweden, Indonesia, Korea, Bangladesh, China, Thailand and Sri Lanka telah membentangkan penemuan hasil penyelidikan mereka dan potensi arah masa depan yang merangkumi semua aspek navigasi dan ekonomi maritim khususnya logistik, pelabuhan dan perkapalan berkaitan dengan tema persidangan.

Persidangan Antarabangsa Ai-MAST 2021 juga menjadi medium interaktif untuk membincangkan isu-isu popular dan kontemporari yang berkaitan dengan navigasi, ekonomi maritim, dasar dan pengurusan, pendidikan dan latihan melalui empat ucaptama yang disampaikan oleh tokoh akademik dan tokoh industri dalam bidang logistik dan pelabuhan dari dalam dan luar negara.

Cetusan idea dan penemuan baru melalui persidangan  ini dijangka mampu mempersiapkan industri maritim dalam mendepani cabaran dalam bidang rantaian bekalan dan melalui penghasilan penerbitan dan inovasi berimpak tinggi.

Disediakan oleh :

 

Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen

Pensyarah Kanan

Fakulti Pengajian Maritim

Universiti Malaysia Terengganu

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu