KUALA NERUS, 8 Dis. 2018 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) selaku organisasi tertinggi mahasiswa menjadi jambatan penghubung antara warga pelajar dengan pihak pengurusan universiti.

 

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata jalinan kerjasama itu perlu bagi membantu dalam mencapai misi dan visi universiti.

 

“Manfaatkanlah peluang dan kepercayaan yang diberikan ini untuk memantapkan barisan kepimpinan mahasiswa disamping membantu ke arah pembangunan universiti.

 

“Sebagai pemimpin, bertindaklah dengan matang, seorang mahasiswa yang terpelajar dan profesional serta jangan terlalu mengikut kata hati yang emosional kerana boleh merosakkan ukhuwah sesama mahasiswa”.

 

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan MPP Sesi 2018/2019 yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT, hari ini.

 

Majlis tersebut turut mendapat perhatian daripada Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir yang turut menyaksikan sesi penyerahan watikah pelantikan tersebut.

 

Dalam majlis tersebut, seramai 24 pelajar dilantik secara rasmi sebagai MPP UMT menggantikan barisan perwakilan pelajar terdahulu yang tamat lantikan pada Oktober lalu.

 

Sementara itu, Muhammad Hasyimi Hasyim Mohd Suddin, pelajar Sarjana Muda Sains (Kimia Analisis dan Sekitaran) juga selaku Yang DiPertua MPP baharu berkata, semangat berpasukan yang tinggi adalah kunci kepada kejayaan sesuatu aktiviti yang dilaksanakan.

 

“Alhamdulillah, semua barisan perwakilan pelajar baharu telah bersedia untuk menggalas amanah yang diberikan oleh pelajar warga pelajar UMT.

 

“Kami akan senantiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam membantu UMT dan membawa suara-suara warga pelajar untuk didengari oleh pihak pengurusan serta menjayakan program yang direncanakan bagi pembentukan graduan holistik serta berdaya saing tinggi,” katanya.



Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu