UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Masyarakat perlu ada jati diri martabat bahasa kebangsaan

Masyarakat perlu ada jati diri martabat bahasa kebangsaan

Sunday, 15/10/2023

Share This Article :

Bahasa kebangsaan memainkan peranan penting dalam membina identiti dan perpaduan sebuah negara. Dalam konteks Malaysia, Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan juga merupakan bahasa ibunda yang diangkat sebagai Bahasa Malaysia. Ia bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga mencerminkan aspek budaya, sejarah dan kebangsaan yang perlu dijaga dan dimartabatkan.

Bagi kebanyakan negara, bahasa kebangsaan menjadi asas identiti kebangsaan sesebuah negara. Malaysia memiliki pelbagai kaum dan etnik, Bahasa Melayu adalah perekat yang menghubungkan dan memupuk rasa kesatuan dan kebersamaan di kalangan rakyat. Memiliki bahasa kebangsaan yang kukuh membantu mengenalpasti seseorang itu sebagai sebahagian daripada satu bangsa dan negara asal.

Peredaran zaman dan arus modenisasi sedikit sebanyak mengganggu usaha memartabatkan bahasa pertiwi. Manakan tidak, generasi baharu menggunakan bahasa asing hampir setiap masa melalui aplikasi telefon pintar samada permainan video, penstriman, aplikasi sembang kenalan dan lain-lain yang kebanyakkan menggunakan bahasa asing.

Usaha berterusan dilihat perlu dalam memartabatkan bahasa kebangsaan agar kekal subur sepanjang zaman. Masyarakat perlu mengamalkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian untuk memastikan bahasa yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia itu kekal relevan dan terus berkembang.

Penggunaan teknologi dalam pembelajaran Bahasa Melayu seperti aplikasi bahasa, laman web pendidikan dan perisian pembelajaran dapat membantu memudahkan akses dan menyumbang kepada meningkatkan minat serta daya tarikan dalam pembelajaran bahasa kebangsaan.

Melalui kerjasama erat antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pelbagai aktiviti berbentuk kempen penggunaan bahasa kebangsaan dianjurkan bagi menyokong usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan melalui Karnival Semarak Bahasa Bulan Bahasa Kebangsaan sempena Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK).

Acara itu merupakan program tahunan yang dirangka oleh kerajaan bagi meningkatkan kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap bahasa dan sastera kebangsaan serta amalan pemupukan membaca. Pelaksanaan program itu mengambil pendekatan merakyatkan bahasa dan sastera dengan penglibatan masyarakat pelbagai kaum.

Turut menyokong usaha itu iaitu pentadbiran negeri Terengganu melalui Setiausaha Kerajaan Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil sebagai perasmi bagi menyempurnakan majlis perasmian Karnival Semarak Bahasa Bulan Bahasa Kebangsaan sempena Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Ab Rasid Jusoh bagi mewakilinya berkata, pihaknya akan menggandakan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan melalui pelbagai medium termasuk paparan peragaan dan papan iklan.

“Saya meminta agar semua Jabatan dan Agensi Kerajaan khususnya di negeri Terengganu menggunakan bahasa Kebangsaan dalam semua urusan dan majlis rasmi sepanjang masa, lebih-lebih lagi pada bulan Oktober yang menjadi Bulan Bahasa Kebangsaan. Perkara ini juga selaras dengan Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006: Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

“Saya juga meminta pihak berkuasa tempatan memastikan paparan dan peragaan seperti papan iklan, papan tanda, nama jalan, papan premis perniagaan dan sebagainya mengutamakan penggunaan bahasa Kebangsaan yang baik dan betul serta bercitrakan Malaysia. Perkara ini selaras dengan Undang-undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan, seperti dalam Pekeliling Jabatan Kerajaan Tempatan JKT:MNKT/D/BIL.1/2005 bertarikh 11 Januari 2005”. Katanya.

Karnival sehari itu menghidangkan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan Malam Semarak Puisi yang menampilkan pelbagai elemen persembahan berasaskan puisi moden dan tradisional seperti deklamasi puisi, lagu puisi, dekon, gurindam dan sebagainya dengan selingan persembahan tarian tradisional, nyanyian lagu rakyat dan sebagainya.

Program ini antara lain bertujuan membangkitkan kecintaan masyarakat terhadap puisi dan bahasa kebangsaan. Selain itu, ia cukup istimewa kerana menampilkan persembahan deklamasi puisi, persembahan tarian cilik, persembahan sketsa , tarian kebudayaan, deklamasi puisi dan lain-lain.

Masyarakat seharusnya sedar dan mengambil peluang untuk menyatakan solidariti akan peri penting memartabtkan bahasa kebangsaan demi penyatuan masyarakat, memelihara budaya dan identiti kebangsaan seterusnya meningkatkan jati diri, semangat patriotik dan perasaan cintakan negara.