KUALA NERUS – Menikmati juadah iftar yang enak seterusnya menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih secara berjemaah serta mendengar tazkirah Ramadan yang menginsafkan.

Itu layanan istimewa yang dinikmati kira-kira 3,000 pelajar kurang berkemampuan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sepanjang Ramadan kali ini.

Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) UMT, Dr Riswadi Azmi berkata penyediaan juadah iftar secara percuma itu dimulakan pada tahun 2015 di mana 300 pelajar mendapat manfaatnya ketika itu.

“Tajaan program ini diterima dari kakitangan universiti, komuniti setempat, syarikat korporat dan swasta serta individu perseorangan yang peka dengan nasib pelajar kurang berkemampuan ini.

“Alhamdulillah, sejak 2015, jumlah tajaan ini semakin meningkat dan kita dapat menambah lebih ramai pelajar untuk menyertai program ini di mana bermula 1 Ramadan lalu, kita sediakan juadah iftar untuk 800 pelajar setiap hari,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sumbangan untuk program juadah iftar itu dijangka meningkat kepada RM100,000.00 untuk Ramadan kali ini berbanding RM80,000.00 pada tahun lepas berikutan semakin ramai pelajar yang berada di akhir semester mengalami masalah kewangan.

Lebih menarik, UMT turut meraikan keluarga miskin yang tinggal berhampiran kawasan universiti dan keluarga pelajar untuk bersama-sama berbuka puasa, solat Maghrib dan Isyak seterusnya solat terawih di Pusat Islam bagi mengimarahkan lagi Ramadan kali ini.

Beliau berkata untuk memudahkan ibu bapa menunaikan solat dengan tenang, pihaknya turut menyediakan taska sementara yang diuruskan sendiri oleh pelajar UMT.

“Lumrah untuk golongan ibu terutamanya tidak dapat menunaikan solat terawih di masjid kerana tidak mahu anak kecil mereka menggangu jemaah yang lain, sebab itu UMT sediakan khidmat taska sementara ini untuk mereka tidak ketinggalan melakukan ibadah itu dengan lebih tenang tanpa risaukan anak mereka.

“Pusat Islam sangat mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk bersama-sama mengimarahkan Ramadan di universiti tersebut agar hubungan pelajar dan komuniti terus terjalin mesra,” katanya.