UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT Terima Dana Penyelidikan Hampir RM 3.1 juta

UMT Terima Dana Penyelidikan Hampir RM 3.1 juta

Sunday, 06/05/2018

Share This Article :

UMT Terima Dana Penyelidikan Hampir RM 3.1 juta
 
KUALA NERUS, 6 Mei 2018 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT), melalui Institut Bioteknologi Marin telah menerima dana berjumlah RM3,072,500 hasil pemeteraian jalinan rakan strategik dan kerjasama dengan 10 agensi dalam dan luar negara bagi merancakkan usaha meningkatkan kualiti akademik serta kecemerlangan institusi tersebut.
 
Majlis Penghargaan & Kerjasama Bersama Industri yang diadakan pada 6 Mei 2018 itu turut menyaksikan satu (1) perjanjian persefahaman (MoA ) antara UMT dan Virbac Vietnam Co.Ltd serta tiga (3) Surat Hasrat (LoI) antara Arbatech Plt, Nature Medics Laboratory Sdn. Bhd. dan Human Life Advancement Foundation dengan UMT dimeterai.
 
Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Hj. Mokhtar berkata, jalinan perkongsian pintar seumpama ini amat penting bagi UMT sebagai sebuah universiti dan kepentingan di pihak industri.
 
“UMT melihat, wujudnya program kerjasama strategik seumpama ini penting dan berkesan dalam membina sinergi Universiti-Industri yang mampu menerajui bidang penyelidikan serta lain-lain aktiviti yang telah dipersetujui bersama oleh semua pihak.
 
“Program kerjasama di antara universiti-industri seperti ini seharusnya perlu dirancakkan lagi kerana ia mampu meningkatkan kompetensi staf akademik untuk memperoleh pengalaman dan pendedahan yang lebih mantap selain berpeluang mengaplikasikan ilmu yang telah dikuasai dengan lebih meluas. Bukan itu sahaja, projek penyelidikan bersama yang memberi ruang kepada penajaan dan penglibatan pelajar siswazah juga dapat meningkatkan kualiti graduan pasca siswazah yang berdaya saing dan memenuhi kehendak pasaran”.
 
“Kerjasama universiti-industri di dalam projek penyelidikan juga seharusnya mewujudkan peluang kepada kedua-dua pihak (universiti dan industri) sama ada di dalam bentuk penjanaan kewangan mahu pun pemindahan teknologi. Kerjasama yang baik adalah kerjasama yang saling melengkapi berdasarkan kekuatan dan kepakaran yang dimiliki. Sekiranya berlaku, sudah pastilah kedua-dua pihak memperolehi manfaat bersama atau win-win situation”.
 
Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd Ghaffar, Pengarah Institut Bioteknologi Marin UMT, Prof. Madya Yeong Yik Sung, Ketua Pengarah Eksekutif setiap agensi-agensi serta jemputan khas dari agensi yang terlibat.