UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PROJEK PEMINDAHAN ILMU UMT TINGKATKAN TARAF HIDUP KOMUNITI

PROJEK PEMINDAHAN ILMU UMT TINGKATKAN TARAF HIDUP KOMUNITI

Sunday, 24/07/2022

Share This Article :

Parit Sulong, 24 Julai 2022- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) komited tingkatkan taraf hidup komuniti Parit Sulong menerusi projek Translasional Ternakan Lebah Kelulut dan projek Ternakan Udang Galah serta Tanaman Sayuran melalui pemindahan ilmu yang dijalankan.

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi (KPT), dalam ucapan perasmiannya berkata beliau berasa bangga dengan usaha dan sumbangan yang telah dilakukan UMT selama ini dalam pembangunan komuniti di seluruh Malaysia termasuklah di Parit Sulong, Johor.

Tambahnya UMT sebagai “Universiti untuk Masyarakat” juga bertindak sebagai ejen transformasi untuk membantu pembangunan modal insan, ekonomi dan sosial masyarakat.

“Selari dengan fokus KPT iaitu “Memacu Kesejahteraan Komuniti”, saya mengharapkan agar kita dapat menggunakan bidang kepakaran IPT untuk membangunkan masyarakat setempat berdasarkan kepada pendekatan inovasi sosial”.

Ujarnya lagi program-program komuniti bersifat turun padang seperti ini perlu diperluaskan.

“Mahasiswa boleh memainkan peranan mereka dalam pelaksanaan program bersifat kesukarelawanan. Ini adalah kerana mereka merupakan golongan berpendidikan tinggi yang mampu menjadi contoh terbaik kepada komuniti setempat. Program dan aktiviti sukarela ini merupakan teras kepada pembangunan negara.

Sementara itu Profesor Dato’ Dr. Mazlan Abd. Ghaffar, Naib Canselor UMT berkata projek Ternakan Udang Galah dan Tanaman Sayuran ini berkonsepkan pengeluaran hasil ikan atau udang dan sayur-sayuran menggunakan modal permulaan yang rendah dan boleh ditempatkan di sudut terbuka.

“Kedua-dua projek ini dijangka akan memberikan manafaat yang besar kepada peningkatan ekonomi komuniti Parit Sulong pada masa hadapan serta mampu meningkatkan taraf hidup dalam sektor agro-pelancongan setempat.”

Seramai 50 peserta yang terlibat dalam program ini terdiri daripada veteran tentera, ibu tunggal, golongan belia dan warga emas Parit Sulong.

Ujarnya lagi, UMT sebagai “Universiti untuk Masyarakat” bertindak sebagai ejen transformasi untuk membantu pembangunan modal insan, ekonomi dan sosial.

Pelbagai program dalam bentuk tenaga, pengetahuan serta kemahiran telah dan sedang rancak dijalankan melalui program pemindahan ilmu, translasional, khidmat komuniti dan penyelidikan.

Untuk rekod, Program Kemuncak Tautan Mesra Komuniti Parit Sulong ini diteruskan melalui khidmat kemasyarakatan dan kesukarelawanan dengan penganjuran Program Jelajah Johor bersama sekretariat anak Johor (SOHOR).

Dalam program ini pula Seramai 120 mahasiswa UMT dari SOHOR menyertai program tiga hari dua malam di tiga buah kampung iaitu Kampung Bintang Peserai, Batu Pahat, Kampung Parit Tengah Sri Merlong, Batu Pahat dan Kampung Sarang Buaya, Muar, Johor Darul Takzim bertemakan “Kesukarelawan Mahasiswa Bersama Masyarakat”, Pelbagai aktiviti lain dilaksanakan merangkumi pendidikan bersama pelajar-pelajar setempat, program pemindahan ilmu bersama belia dan program “We Care We Love” bersama komuniti. seiring dengan fokus KPT iaitu “Memacu Kesejahteraan Komuniti”, program Kemuncak Tautan Mesra Komuniti Parit Sulong ini membawakan masyarakat bersama KPT dan UMT dengan lebih akrab melalui pemindahan ilmu yang sememangnya memberi manafaat kepada masyarakat..

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu