UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Buka semula kampus, belajar lebih fokus

Buka semula kampus, belajar lebih fokus

Tuesday, 02/03/2021

Share This Article :

Kuala Nerus, 1 Mac – Kampus universiti mula ceria dengan ketibaan kumpulan pelajar setelah hampir setahun ditinggalkan sebilangan besar pelajar pada tahun lalu ekoran pandemik COVID-19.

Pembukaan semula kampus universiti setelah pengumuman mengenainya dibuat oleh YB Menteri Pengajian Tinggi pada 31 Januari 2021 lalu setelah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan sesi libat urus bersama Majlis Perwakilan Pelajar, pihak pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pakar kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pastinya pembukaan semula kampus untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran secara hibrid menggembirakan sebilangan besar pelajar.

Namun begitu, kumpulan pelajar yang berjaya meneruskan pengajian di kampus perlu melalui tapisan dan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 dalam kampus.

Pelajar UMT, Deenatul Aiman Ras,22, berkata kemasukan semula ke kampus suatu yang menggembirakan.

“Saya sangat bersetuju dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi dalam memberi kebenaran kepada pelajar universiti untuk kembali ke kampus.

“Berada di kampus lebih fokus terhadap pengajian, suasana pembelajaran sangat kondusif dan dilengkapi dengan kemudahan capaian internet.

Tambah Deenatul, kebisingan ahli keluarga yang masih kecil serta persekitaran kediaman yang tidak selesa adalah cabaran besar belajar dari rumah.

“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang ke kampus pada hari ini dan saya harap rakan-rakan yang berjaya mendaftarkan diri pada hari ini dapat mematuhi garis panduan dan SOP yang telah ditetapkan bagi mengelakkan penularan COVID-19 di kampus”. Katanya yang berasal dari Bentong, Pahang.

UMT menerima sejumlah 250 pelajar pada pertama pembukaan semula kampus dan proses kemasukan itu berterusan sehingga 8 Mac 2021.

 

FAKTA :

* Enam (6) kategori pelajar berkeperluan kembali ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac 2021 bagi mengikuti PdP secara hibrid iaitu secara fizikal dan secara dalam talian. Enam kategori pelajar yang dibenarkan pulang ke kampus seawal 1 Mac 2021 adalah seperti berikut:

 

Pelajar dari program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas;

Pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian;

Pelajar Asasi atau Setara dan Diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid;

Semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom;

Pelajar Berkeperluan Khas (OKU); dan

Pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional.

**Pelajar yang tiba di kampus perlu menjalani kuarantin wajib

**Pelajar diwajibkan mengisi borang deklarasi kesihatan dan saringan kesihatan seperti catatan suhu dan lain-lain

**Pelajar juga ditempatkan diblok berasingan mengikut zon

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu