UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Toleransi Pensyarah Bantu Imbangi Emosi Pelajar Jalani Pembelajaran Maya Toleransi Pensyarah Bantu Imbangi Emosi Pelajar Jalani Pembelajaran Maya

Toleransi Pensyarah Bantu Imbangi Emosi Pelajar Jalani Pembelajaran Maya Toleransi Pensyarah Bantu Imbangi Emosi Pelajar Jalani Pembelajaran Maya

Thursday, 22/04/2021

Share This Article :

Pandemik COVID-19 telah melanda Malaysia sejak Januari tahun lalu menyaksikan pelbagai norma baharu mula diamalkan dalam kehidupan. Pembudayaan norma baharu ini menyasarkan keseluruhan aspek kehidupan, meliputi gaya hidup serta aktiviti harian malah sektor perkhidmatan juga turut terlibat. Sektor perkhidmatan yang dinyatakan termasuklah sistem pendidikan negara.

Menurut kenyataan yang diumumkan oleh UNESCO pada 26 Mac 2020, terdapat 1.5 bilion orang pelajar daripada lebih 165 buah negara yang tidak dapat meneruskan persekolahan ekoran COVID-19. Bagi mengelakkan sesi pembelajaran universiti terhenti, maka pembelajaran secara maya diwajibkan sebagai medium terbaik sepanjang tempoh pandemik COVID19.

Pada peringkat institusi pengajian tinggi, pembelajaran secara maya dilaksanakan menggunakan pelbagai platform pembelajaran digital antaranya Webex, Zoom, Google Classroom, WhatsApp mahupun Telegram. Malah media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube juga turut digunakan. Pembelajaran maya ini memberi manfaat terutama dalam era pandemik COVID-19 kerana membolehkan proses PdP dilaksanakan tanpa mengira jarak dan bilangan ahli yang menyertainya.

Namun begitu, sesi pembelajaran norma baharu ini berdepan cabaran terutamanya dari pihak pelajar kerana tidak semua mempunyai peralatan yang lengkap serta akses capaian internet yang baik. Menurut kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mendapati daripada 900,000 orang murid menunjukkan hanya enam peratus memiliki komputer peribadi, tablet (5.76 peratus), komputer riba (sembilan peratus) dan telefon pintar (46 peratus). Sementara 36.9 peratus pelajar tidak mempunyai peranti.

Selain itu, cabaran besar yang dihadapi juga termasuklah dari aspek pengurusan emosi. Pembelajaran maya sama ada bersedia atau tidak, suka atau tidak, terpaksa diterima oleh pelajar. Namun, sedar atau tidak, sesi pembelajaran maya ini turut mengganggu emosi sebilangan pelajar terutamanya mereka yang baru melangkah ke universiti.

Para pelajar terpaksa belajar secara bersendirian, melakukan perbincangan berkaitan tugasan secara maya serta berusaha untuk memahirkan diri dengan penggunaan aplikasi tertentu, menyebabkan sebahagian emosi pelajar terganggu apabila tidak mampu melakukannya dalam jangka masa yang pendek. Mengadaptasi sesuatu yang baru hakikatnya memerlukan ruang masa yang lebih lama.

Lebih dari itu, pelajar turut berhadapan dengan hambatan peranan sebagai seorang pelajar dan dalam masa yang sama sebagai seorang anak dalam membantu ibu bapa di rumah. Urusan di rumah sama sekali tidak boleh diabaikan, maka tidak hairanlah jika sebahagian pelajar hanya online tetapi tidak berada di hadapan komputernya.

Kajian mendapati pelajar menghadapi tekanan pada awalnya untuk berubah dan menerima sistem yang baru serta sering didesak untuk mengaktifkan minda, ada pelajar yang dapat memberi komitmen yang tinggi disebabkan tekanan yang dihadapi adalah suatu tekanan yang positif, mereka yakin ianya dapat membantu mereka mencapai kejayaan. Manakala terdapat segelintir pelajar yang tidak berupaya mengurus masalah emosi sebegini, terjebak dengan kemurungan (depression) dan kegelisahan (anxiety).

Disebabkan gangguan ini, segelintir mereka terus mengabaikan tanggung jawab dengan tidak hadir kelas secara online, tidak menyiapkan tugasan dan tidak menyertai perbincangan bersama rakan-rakan untuk menyiapkan tugasan berkumpulan. Malah, ada juga sebilangan pelajar yang memilih untuk berhenti belajar dan bekerja  kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu ini.

Dalam situasi sebegini, pensyarah perlu lebih kreatif dengan mengambil kira pelbagai elemen termasuklah toleransi etika dan nilai untuk membantu menguruskan emosi pelajar. Dalam masa yang sama, pensyarah berusaha untuk memahirkan diri dengan bermacam teknik dan metod pembelajaran secara maya bagi memenuhi tanggungjawab menyampaikan ilmu kepada pelajar.

Sikap toleransi adalah elemen terpenting, kerana ia dapat menangani ketidakseimbangan emosi yang dihadapi oleh segelintir mahasiswa. Pensyarah perlu memahami beban pelajar dalam proses pembelajaran maya, iaitu dengan tidak menyusahkan mereka dengan tugasan yang terlalu banyak mahupun menjalankan kuliah di luar waktu yang ditetapkan contohnya pada waktu malam atau pada hujung minggu.

Di samping itu, pensyarah juga perlu lebih peka dan mengambil berat tentang permasalahan pelajar. Bertanya khabar, ramah mesra dan peka adalah perlu. Sekiranya mereka tidak dapat menghantar tugasan pada waktu yang ditetapkan atas alasan-alasan yang munasabah, pensyarah boleh bertolak ansur dengan memberi pelajar tambahan masa.

Perlu difahami bahawa pembelajaran maya adalah berbeza dengan bersemuka, keseimbangan dalam semua aspek adalah penting. Memarahi pelajar, menolak markah atau menggagalkan mereka bukanlah satu-satunya solusi yang terbaik pada masa kini kerana semua aspek perlu dinilai sebelum keputusan dilakukan.

Kesimpulannya, norma baharu dalam aspek pendidikan adalah satu fenomena yang perlu diterima terutama dalam suasana pandemik COVID-19 ini. Pelajar seharusnya berusaha untuk mengadaptasi suasana ini, manakala pensyarah pula perlu mempunyai sikap toleransi dalam mendepani kekangan-kekangan yang pelajar hadapi dalam sesi pembelajaran maya kini.

Dengan ini, ia secara tidak langsung dapat meringankan emosi pelajar akibat kesan pembelajaran secara maya serta membantu kerajaan dalam merealisasikan keberkesanan pembelajaran era digital kini, akan datang dan selamanya.

 

Disediakan oleh :

Dr. Najihah Abdul Mutalib  dan Puan Ismar Liza Mahani Ismail

 

pensyarah di Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan

Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu