UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Perkembangan islam di Asia Tenggara merubah kehidupan masyarakat

Perkembangan islam di Asia Tenggara merubah kehidupan masyarakat

Monday, 31/10/2022

Share This Article :

Sejarah mencatatkan kedatangan islam di Asia Tenggara telah bertapak sejak abad ke 12. Perkembangan itu didorong dengan aktiviti perdagangan saudagar arab ke benua Asia khususnya Thailand, Indonesia dan Malaysia.
 
Menurut data populasi (world population), terdapat 1.9 bilion Muslim di dunia iaitu 20 peratus daripada mereka berada di Asia Barat dan Afrika Utara. Manakala umat islam di Asia Tenggara membentuk 25% dari penduduk Muslim di dunia. Data itu diunjurkan sekitar 230 juta penduduk dan ia merupakan jumlah tertinggi bagi kesemua rantau penduduk muslim di dunia.
 
Pengaruh islam mula menebal dan mengubah masyarakat dari segenap sudut. Agama Islam telah membawa ajaran dan tamadun yang lebih tinggi dan merangkumi kehidupan manusia.
 
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Madya Dr. Hafiz Zakariya berkata program berkenaan peradaban islam perlu diperhebatkan demi martabat agama rasmi persekutuan.
 
“Kita mahu meletakkan islam di Asia Tenggara ini pada tempat sepatutnya dalam bidang pengajian tamadun dan dunia masyarakat islam.
 
“Perkembangan islam di Asia Tenggara ini cukup menarik dan mempunyai dinamisme tersendiri untuk disebarkan kepada masyarakat dunia”
 
Ujarnya, penganjuran seminar berkaitan sejarah perkembangan islam merupakan platform terbaik dalam membincangkan serta menyebarluaskan sumbangan besar islam di Asia Tenggara.
 
“Justeru, penganjuran seminar antarabangsa memberi tumpuan kepada isu-isu terpilih dalam perkembangan Islam di Asia Tenggara atau Nusantara. Ia mempertegaskan dan menekankan kepentingan Islam di nusantara dimasukkan dalam kerangka besar pengajian masyarakat Muslim di peringkat makronya”. Katanya ketika berucap sempena Seminar Antarabangsa Islam di Asia Tenggara yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, UMT.
 
Seminar itu berjaya menghimpunkan hampir 2,000 peserta yang mempunyai pelbagai latar belakang dan kepercayaan serta menampilkan panel speaker ulung seperti Prof. Madya Dr. Mohamad Azam Mohamed Adil, Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Prof. Dr. Khairudin Aljunied, ahli akademia di Universiti Brunei Darussalam.
 
Dikeluarkan oleh :
 
Pejabat Komunikasi Korporat
 
Universiti Malaysia Terengganu