UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Ramadan bulan keberkatan

Ramadan bulan keberkatan

Thursday, 14/3/2024

Share This Article :

Sudah menjadi kebiasaan sepanjang bulan Ramadah ibadah sedekah menjadi amat rancak. Kutipan derma di masjid atau di mana sahaja akan meningkat. Malah pada masa sekarang sedekah secara online juga amat mudah dan boleh dilakukan dimana-mana sahaja bukan hanya perlu memasukkan duit ke tabung surau atau masjid sahaja. Hal sebegini menunjukkan masyarakat kita terutama umat islam sangat teruja untuk melakukan sedekah pada bulan Ramadan kerana menyedari pahalanya berlipat ganda sekaligus dapat menghapus dosa.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan”. (Riwayat At-Tirmidzi).

 

Merancakkan Iftar di Masjid

 

Tidak kurang juga sambutan aktiviti tajaan iftar begitu rancak sehinggakan slot tajaan setiap hari penuh walaupun baru sahaja di buka. Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sendiri tidak melepaskan peluang setiap tahun untuk menyediakan iftar kepda semua mahasiswa yang memerlukan. Menurut Ustazah Faizah Ismail, Timbalan Pengarah PISM, saban tahun pihak mereka memperuntukkan RM7,000 bagi menyediakan juadah iftar kepada lima ratu hingga seribu pelajar setiap hari. Tambahnya tahun ini PISM akan meneruskan tradisi iftar ramadan untuk semua pelajar yang memerlukan.

 

Tajaan iftar tersebut adalah sumbangan warga UMT sendiri sama ada melalui potongan gaji ke Tabung Infaq Ramadhan, sumbangan individu dan sumbangan Pusat Tanggungjawab.

 

Konsep makan bertalam (makan dalam dulang) yang dikongsi antara empat hingga lima orang turut dikekalkan semasa iftar di PISM. Faizah berkata konsep ini adalah untuk menghidupkan sunnah Rasulullah SAW yang semakin dilupakan walaupun ia dijanjikan ganjaran pahala berlipat ganda.

 

Allah SWT juga telah menutup pintu neraka, membelenggu pergerakan syaitan dan membuka seluas-luasnya pintu syurga. Di samping itu, dilipatgandakan ganjaran pahala segala ibadat dan amalan soleh sehingga ribuan kali ganda.

 

Ayuh perbanyakkan doa dan bersedekah di bulan mulia ini.

 

Nurseri Ramadan

 

Bagi memberikan keselesaan kepada ibu bapa untuk menunaikan solat tarawih di masjid UMT, pihak PISM turut menyediakan kemudahan nurseri untuk kanak-kanak berumur dua tahun hingga lima tahun.  Nurseri ini dibuka kepada staf UMT dan komuniti setempat yang mengikuti tarawih di PISM.

 

Pelbagai aktiviti menarik juga disediakan untuk anak-anak disamping peralatan mainan yang disediakan pihak PISM sendiri. Jagaan kanak-kanak ini turut dibantu oleh sukarelawan asnaf pelajar UMT yang mendapat manfaat daripada bantuan zakat yang diagihkan oleh pihak PISM.

 

Orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang ke tabung Infaq Ramadhan, UMT untuk sama-sama membantu program-program  pengimarahan masjid UMT.

 

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya tangan di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).” (Riwayat al-Bukhari).

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu