UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

SAMBUTAN HARI ALAM SEKITAR BERSAMA YANG AMAT MULIA TENGKU PUTERI UTAMA RAJA DI STESEN PENYELIDIKAN ALAMI MARIN PULAU BIDONG, UMT

SAMBUTAN HARI ALAM SEKITAR BERSAMA YANG AMAT MULIA TENGKU PUTERI UTAMA RAJA DI STESEN PENYELIDIKAN ALAMI MARIN PULAU BIDONG, UMT

Sunday, 31/10/2021

Share This Article :

Pemuliharaan alam sekitar dan warisan budaya merupakan antara faktor penting dalam usaha negara di seluruh dunia untuk memelihara khazanah dan keindahan estetika marin samada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

 

Justeru, bersempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut menyokong inisiatif pemuliharaan alam sekitar termasuklah di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT di Pulau Bidong. Sebagaimana yang kita sedia maklum, stesen tersebut merupakan makmal semulajadi kepada penyelidik dan pelajar UMT yang berkaitan dengan kehidupan laut. Ianya turut menjadi tumpuan dari pihak luar kerana menawarkan pakej pelesenan selam skuba.

 

Antara aktiviti yang menjadi daya tarikan adalah snorkelling, berkayak, memancing dan merentas hutan. Aktiviti tersebut mempunyai objektif bagi memupuk kesedaran di kalangan peserta untuk memastikan kelestarian ekosistem dan terumbu karang di perairan pulau terpelihara. 

 

Baru-baru ini, UMT sangat berbesar hati di atas kesudian Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Nadhirah Zahrah binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin untuk berangkat dan mencemar duli ke Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT di Pulau Bidong.

 

Menurut Profesor Dr Mazlan Ghaffar, Naib Canselor UMT, usaha murni Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja akan menjadi inspirasi kepada golongan masyarakat terutama generasi belia untuk terlibat aktif dalam menjayakan aktiviti pemuliharaan alam sekitar.

 

“Taklimat ringkas mengenai sejarah dan latarbelakang Pulau Bidong yang pernah menjadi penempatan warga Vietnam sekitar tahun 1978-1991 diberikan sepanjang pendakian bagi melihat kesan peninggalan warga Vietnam pada ketika itu. Pulau yang mempunyai 1001 khazanah tersendiri dan UMT merupakan satu-satunya universiti yang mempunyai stesen penyelidikan yang berfokuskan ilmu kelautan dan sumber akuatik,” ujar Mazlan lagi.

 

Majlis diserikan dengan penanaman pokok bersempena lawatan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja ke Pulau Bidong dan turut dihadiri sekumpulan pelajar dari Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA UMT).

 

Dalam tempoh tersebut, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja turut berkesempatan melakukan selaman skuba di beberapa tempat di perairan dasar laut Pulau Bidong dan sekitarnya termasuklah Pulau Karah dan Pulau Geluk bagi melihat keindahan terumbu karang dan hidupan marin yang terdapat di sana.

 

Baharim Mustapa, Timbalan Pengarah PPPL yang mengiringi delegasi selaman skuba, beliau berkata Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja turut berkesempatan dibawa melihat artifak di dasar laut yang berusia hampir 600 tahun. Selain itu, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja turut teruja apabila melihat keunikan Tapak Peninggalan Orang Hanyut Vietnam (OHV) yang menempatkan pelbagai monumen seperti kuil, tokong, gereja dan lain-lain lagi.

 

Turut hadir Profesor Dr Fauziah Hasan, Pro Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat dan Jaringan Industri) merangkap Pengarah, Pejabat Komunikasi Korporat dan Profesor Madya Dr Hasrizal Shaari, Pengarah, Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan, UMT.

 

Keterangan lanjut hubungi:

Tengku Nuriah Tengku Abdul Rahman

Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan, UMT

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

Emel: pro@umt.edu.my

Tel: 09-66848/4261