UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PLASTIK DAN KEPENTINGANNYA DALAM KEHIDUPAN MANUSIA

PLASTIK DAN KEPENTINGANNYA DALAM KEHIDUPAN MANUSIA

Tuesday, 03/11/2020

Share This Article :

Isu pembuangan sampah pepejal termasuk sisa plastik secara berlebihan dan tidak terkawal merupakan isu global yang sering diperbahaskan di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. Mengambil contoh, apabila seseorang membuang sampah kecil seperti pembungkus gula-gula ataupun puntung rokok. Ianya mungkin dilihat sebagai suatu perkara yang kecil sahaja, kerana saiz pembungkus gula-gula itu tidaklah besar. Cuba bayangkan jika ada sejuta orang membuang pembungkus gula-gula, mesti impaknya akan menjadi lebih besarkan? Renung-renungkanlah.

 

Menurut satu kajian oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp), setiap hari dianggarkan purata rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 33,000 tan sisa pepejal, ini bermakna sejumlah 12 juta tan setahun. Hampir 45 peratus adalah terdiri daripada sisa makanan, 25 peratus pula merupakan bahan berasaskan plastik manakala kertas meliputi 10 peratus dan selebihnya adalah lain-lain sisa pepejal. Mengikut anggaran, hampir 95 peratus dari sisa pepejal tersebut berakhir di tapak pelupusan. Perkara ini menggambarkan kelemahan pengurusan sisa di negara kita. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak termasuk setiap individu dalam masyarakat kita. Peranan untuk mengurus sisa dengan cara yang betul dan terbaik oleh semua pihak adalah sangat perlu bagi menangani isu ini.

 

Justeru, bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman orang ramai mengenai pengurusan sisa terutama plastik, Prof. Ts. Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali, pensyarah Program Teknologi Alam Sekitar di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan Dan Informatik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berkongsi info menyingkap kebenaran mengenai sisa plastik melalui Program Bual Bicara Professor yang dijalankan secara atas talian di UMT.

 

 

Menurut Prof Dr Ruzaidi, selama ini terlalu banyak tanggapan yang kurang tepat dalam masyarakat berkaitan sisa terutama plastik, menyebabkan kita sentiasa mengambil jalan mudah dengan membuang dan membiarkan sisa tersebut berakhir di tapak pelupusan yang menjadi ancaman besar kepada hidupan lain di daratan dan lautan.

 

“Tanggapan umum mengatakan semua bahan plastik adalah merbahaya kepada kesihatan adalah tidak benar. Memang ada sebilangan kecil bahan plastik yang boleh mendatangkan bahaya sekiranya terdedah kepada keadaan tertentu terutama kepada suhu tinggi yang mampu menyebabkan terbebasnya bahan tambah tertentu yang digunakan bersama sesuatu bahan plastik apabila ianya  dibakar”, ujar beliau lagi.

 

Beliau menambah, hasil kajian yang telah dibuat oleh Pusat Penyelidikan Kanser United Kingdom, mendapati bahawa tiada sebarang bukti yang menunjukkan bekas plastik yang lazim digunakan bagi pembungkusan makanan dan minuman merupakan penyebab penyakit kanser. Penggunaan semula botol air mineral juga tidak mempunyai  kaitan dengan masalah tersebut.

 

Selain itu beliau juga membandingkan penggunaan kertas yang selama ini dianggap lebih mesra alam berbanding plastik. Ternyata kertas juga bukan merupakan satu alternatif terbaik dan selamat kerana penggunaannya lebih menyebabkan kesan pencemaran yang lebih tinggi berbanding plastik. Pengeluaran kertas menyebabkan kadar pencemaran udara melebihi 70 peratus berbanding pengeluaran plastik, dengan jumlah pelepasan gas rumah hijau dan bahan toksik yang lebih tinggi. Penghasilan kertas juga melibatkan penebangan pokok-pokok besar dan matang yang menjadi sumber oksigen utama dunia.

 

Prof. Dr Ruzaidi turut menjelaskan, pengurusan sisa secara bijak dan terancang perlu dilaksanakan secara berkesan agar kita mampu menangani masalah sisa pepejal ini, sebelum ianya menjadi lebih buruk. Prinsip 4R, Reduce, Reuse, Repair dan Recycle perlu dilaksanakan secara bersepadu oleh semua pihak agar kelestarian alam sekitar dapat diwarisi kepada generasi akan datang. Dasar dan amalan masyarakat perlu seiring bagi menjayakan kempen tersebut. Usaha untuk kita mendidik dan meminta masyarakat mengasingkan sampah mengikut kategori akan menjadi sia-sia apabila lori sampah datang, mereka mengumpul kesemuanya kembali dalam lori yang sama dan berakhir di mana ianya bercampur dengan pelbagai jenis sampah di tapak pelupusan.

 

Kerjasama secara kolektif dalam pengurusan sisa oleh semua pihak yang menjalankan fungsi masing-masing dengan baik adalah kunci dalam menjayakan matlamat menangani isu tersebut. Usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dijayakan dalam tempoh yang singkat namun ianya tidak mustahil untuk dilaksanakan di negara kita. Mengambil contoh, Kamikatsu, Jepun telah berjaya menyelesaikan masalah pencemaran sisa pepejal melalui kempen ‘Zero Waste’.

 

 

Prof. Ts. Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali

Penulis adalah pensyarah Program Teknologi Alam Sekitar di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan Dan Informatik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

HP : 0194562610

 

 

Disediakan oleh ;

Tengku Nuriah Tengku Abdul Rahman

HEPA, UMT