UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT Perkasa Semangat Kesukarelawanan Pelajar Menerusi Platform KPT4U Besut

UMT Perkasa Semangat Kesukarelawanan Pelajar Menerusi Platform KPT4U Besut

Sunday, 22/04/2018

Share This Article :

Besut, 20 April –  Pelajar UMT disaran agar terus menjiwai semangat kesukarelawanan dan pada masa yang sama, berkongsi ilmu pengetahuan menerusi sesi pemindahan ilmu bersama komuniti.

Menerusi program KPT4U, UMT bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut dan Pejabat Ahli Parlimen Besut telah melaksanakan program jelajah “Ceria Ke Sekolah” yang melibatkan 1,200 pelajar sekolah rendah dari Parlimen Besut iaitu SK Tembila, SK Tok Raja dan SK Keruak.

Jelajah ini menyaksikan penglibatan seramai 230 orang warga UMT iaitu 150 orang pelajar dan 80 staf yang  mengadakan pelbagai aktiviti seperti pameran Projek Translasional UMT – Kuda Laut & Belangkas, promosi Pusat Asasi STEM (sains, teknologi, kejuruteraan & matematik) dan program pemeriksaan kesihatan (badan dan gigi).

Program KPT4U Parlimen Besut ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah dirasmikan oleh Dato’ Seri Idris Jusoh. Beliau berkata “Program KPT4U ini merupakan medium terbaik dalam memperkasakan semangat kesukarelawanan di kalangan pelajar. Mereka bukan sahaja  boleh mendekati komuniti dengan lebih baik, tetapi turut boleh menjiwai kehidupan dan permasalahan dalam masyarakat. Ia juga bertepatan dengan inisiatif Gap Year yang diperkenalkan oleh KPT sebelum ini.

Di dalam majlis ini juga, Dato’ Seri Idris Jusoh telah berpeluang  bertemu dengan para pelajar dan ibu bapa di ketiga-tiga buah sekolah. Beliau menyampaikan hadiah pek lengkap persekolahan tajaan PTPTN seperti beg, kasut, pakaian sekolah dan bahan bacaan ilmiah kepada para pelajar. Program ini turut disertai oleh Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Hj. Mokhtar, Naib Cancelor UMT, Prof. Madya Ts. Dr. Che Ruzaidi Ghazali, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMT, Guru Besar  sekolah serta wakil-wakil agensi lain.
 

Dikeluarkan oleh:
Pusat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu
Tel: 09-668 5086 / 012 – 689 1523
Emel: aaminah.azhar@umt.edu.my