UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT Fokus Penyelidikan Translational untuk Manfaat Komuniti, Negara dan Global

UMT Fokus Penyelidikan Translational untuk Manfaat Komuniti, Negara dan Global

Thursday, 16/02/2017

Share This Article :

Kuala Nerus, 16 Feb. – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal menghalatujukan fokus terhadap penyelidikan translasional sebagai fokus gerak kerja pada tahun ini.

Ujar YBhg. Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar dalam ucapan beliau sempena Majlis Amanat Naib Canselor Tahun 2017 berkata, “penyelidikan translasional ini bakal memberi lebih perhatian kepada program dan aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada komuniti, menyelesaikan masalah negara serta memberi impak kepada isu global”.

Bagi mendokong usaha berkenaan, banyak perancangan telah dirangka antaranya dengan penawaran lapan program sarjana baharu seperti Sarjana Sains Perikanan Tropika Lestari, Sarjana Statistik Marin dan Sarjana Sains (Forensik Alam Sekitar) yang diharapkan boleh menyumbang kepada komuniti dan negara.

UMT juga akan mewujudkan ladang kelulut secara komersil di Kampus UMT di Bukit Kor yang berkeluasan lima hektar yang dijangka mampu mengeluarkan produk madu kelulut mengikut piawaian untuk dipasarkan dan bakal memberi manfaat kepada komuniti tani di kawasan berhampiran yang akan terlibat dalam pengurusan ladang kelulut ini.

Dalam masa terdekat juga, UMT bakal menganjurkan Karnival Keusahawanan dan Kerjaya Belia Negara 2017 dimana, program ini yang mendapat kerjasama pelbagai agensi dan industri ini akan memberi pendedahan berkaitan keusahawanan dan kerjaya kepada para pelajar di samping meningkatkan jalinan kerjasama antara UMT dan industri. Selain itu, pameran kerjaya yang diadakan bakal memanfaatkan komuniti sekitar, khususnya mereka yang ingin mendapatkan pekerjaan.

YBhg. Naib Canselor UMT turut mengumumkan penubuhan Pusat Penjanaan Pendapatan UMT yang akan meningkatkan aktiviti endowmen dan wakaf sebagai satu sumber pendanaan penting dalam kemampanan kewangan UMT seperti yang diseru oleh Kementeri Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahu semua Universiti Awam (UA) mencari sumber pendapatan alternatif untuk menjadi lebih fleksibel, kukuh dan mampan dan mengurangkan kebergantungan kepada geran kerajaan.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti, Dato’ Mohammed Azlan bin Hashim serta seluruh warga UMT.