UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Guru dinobat sebagai pemenang anugerah unggul UMT

Guru dinobat sebagai pemenang anugerah unggul UMT

Thursday, 31/03/2022

Share This Article :

Kuala Nerus – Saripah Embong dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Ikon Alumni bagi Kategori Unggul (Utama) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 2021.

Majlis anugerah itu julung kali diadakan anjuran Pusat Alumni UMT bagi mengangkat graduan yang telah menabur bakti dan menghargai sumbangan alumni UMT dalam bidang kepakaran masing-masing kepada universiti dan negara.

Beliau yang berkhidmat sebagai guru merupakan alumni UMT bagi program Sarjana Muda Sains Makanan (Perkhidmatan Makanan dan Pemakanan) pada tahun 2005.

Guru yang bakal menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam pada tahun hadapan itu tidak menyangka namanya diumumkan sebagai Ikon Unggul Utama iaitu pengiktirafan tertinggi dalam majlis yang penuh gemilang tersebut.

“Terima kasih kepada UMT atas pengiktirafan ini. Saya amat teruja dan tidak menyangka dipilih sebagai penerima anugerah ini.

“Walaupun saya seorang guru, tetapi saya suka belajar untuk kepuasan diri. Pensyarah-pensyarah di UMT juga sangat membantu dan menyokong saya untuk meneruskan pengajian walaupun di usia 40 tahun.

Pengiktirafan tersebut melayakkan Saripah menerima trofi, sijil dan sejumlah wang tunai disampaikan oleh Mohd Khairul Hakimi Mohd Nawi, Ahli Lembaga Pengarah UMT.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata UMT berada pada landasan yang tepat sepertimana KPI yang telah ditetapkan dalam Pelan Strategik UMT 2018-2022.

”Melalui Pelan Strategik UMT 2018-2022 (PSUMT 2018-2022) telah digariskan objektif strategiknya adalah untuk Pemerkasaan Jaringan Bersama Alumni. Pemerkasaan ini melibatkan beberapa kategori alumni seperti Bakal Alumni, Alumni Muda dan Alumni Matang.  

 

“Alhamdulillah, Pusat Alumni kerana berjaya mencapai KPI yang dtetapkan setiap tahun. Saya mengucapkan syabas kepada pengarahnya, Prof. Dato’ Dr. Shaharuddin Abdul Hamid dan Staf Pusat Alumni serta Timbalan Naib Canselor HEPA dalam memastikan KPI tersebut tercapai”. Katanya.

 

Majlis Anugerah Ikon Alumni UMT 2021 (MAIKA 21) itu menawarkan beberapa kategori pemenang iaitu Ikon Alumni Unggul (Utama), Ikon Alumni Akademik, Ikon Alumni Pengurusan Awam, Ikon Alumni Usahawan dan Ikon Alumni Industri.

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu