Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik melalui suratnya yang bertarikh 24 September 2018 telah melantik YBhg. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Halim bin Mohammad sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa 1 Oktober 2018.

Beliau merupakan pengasas kepada syarikat perkapalan terkemuka negara iaitu Halim Mazmin Berhad yang terkenal dan tersenarai di Bursa Malaysia.

Memiliki pengalaman luas dalam sektor maritim serta menjawat pelbagai jawatan penting di dalam badan kerajaan, pelantikan ini mampu menyumbang dan membawa UMT ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan serantau dan antarabangsa.

Pemilihan perlantikan ini adalah amat tepat bagi memperkukuhkan dan memacu UMT melahirkan tenaga pakar yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang kelautan dan sumber akuatik.

Pelantikan ini juga diharapkan dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan UMT dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang marin dan maritim di Malaysia serta dunia.

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan YBhg. Dato’ Mohammed Azlan bin Hashim, mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMT yang telah tamat tempoh kontraknya pada 30 September 2018 lalu.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia juga melantik Encik Azizul Nizam Bidin dari ITRAMAS Corporation Sdn. Bhd. sebagai Ahli LPU UMT yang baharu sebagai wakil sektor swasta bagi tempoh yang sama.

 

Dikeluarkan oleh:

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

10 Oktober 2018