UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Manusia perlukan belangkas dalam farmaseutikal

Manusia perlukan belangkas dalam farmaseutikal

Thursday, 19/05/2022

Share This Article :

Belangkas merupakan haiwan purba yang telah wujud sejak jutaan tahun dahulu. Memiliki rupa bentuk yang agak menakutkan, namun spesis itu mempunyai pelbagai kelebihan bagi membantu manusia dalam bidang perubatan moden.

 

Haiwan marin yang tidak mempunyai tulang belakang itu (invertebrate) sering dilihat berpasangan yang mana belangkas betina bersaiz lebih besar daripada belangkas jantan.

 

Terdapat empat jenis belangkas di dunia namun hanya tiga spesis yang boleh didapati di perairan Malaysia iaitu Belangkas Paya Bakau (Carsinoscorpius rotundicauda), Belangkas Pantai/Laut (Tachypleus gigas) dan Belangkas Borneo (Tachypleus tridentatus). Hanya satu belangkas yang tiada di periaran negara iaitu Limulus poliphemus yang didapati di Amerika Utara.

 

Walaupun haiwan tersebut jarang ditemui, namun belangkas seringkali diburu oleh penggemar makanan eksotik. Belangkas tidak mempunyai bahagian yang boleh dimakan seperti ketam, tetapi penggemar makanan eksotik amat sukakan telur haiwan tersebut.

 

Permintaan yang sangat tinggi di pasaran antarabangsa menyebabkan spesis itu sering diburu dan mengakibatkan spesis itu semakin berkurangan. Antara negara yang memiliki permintaan tinggi iaitu Thailand da negara asia lain.

 

Pasangan belangkas akan mengawan pada bulan purnama dan spesis itu mengambil masa lebih sepuluh tahun untuk matang sehingga bertelur. Tempoh itu juga dikatakan agak panjang dan ia memerlukan langkah konservasi yang sistematik bagi mengekalkan populasi itu di negara kita.

 

Seringkali dimomokkan bahawa belangkas mempunyai darah berwarna biru dan maklumat salah itu telah dijelaskan oleh pakar kajian belangkas.

 

Menurut Prof. Dr. Noraznawati Ismail, pakar kajian marin dan mikrobiologi di Institut Bioteknologi Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) darah belangkas bukan berwarna biru sepertimana dimomokkan orang ramai.

 

“Sebenarnya darah belangkas tidak berwarna. Darah belangkas bertukar warna biru apabila berlaku pengoksidaan dan kuprum yang terdapat dalam darah belangkas akan bertindak balas dan menjadikan darah belangkas tersebut bertukar warna biru. Fakta ini perlu diperbetulkan”.

 

Beliau berkata, darah belangkas digunakan secara meluas dalam bidang perubatan bagi penghasilan pengesan endotoksin yang dikenali sebagai LAL/TAL Kit (Rapid Endotoxin Detection Kit). Ia berfungsi untuk mengesan pencemaran endotoksin didalam drug sebagai bahan suntikan dan implant.

 

Bagi mengekalkan populasi belangkas, Prof. Dr. Noaznawati bersama-sama kumpulan penyelidiknya menjalankan beberapa inisiatif demi memastikan haiwan ‘rare’ itu dipersia-siakan oleh masyarakat.

 

“Kita juga melibatkan komuniti dalam menjalankan pemuliharaan belangkas melalui program pemindahan ilmu kepada komuniti. Kita juga telah membina hatcheri di Kemaman dan bekalan belangkas disumbangkan oleh nelayan.

 

“Selain itu, hatcheri ini juga akan dijadikan lokasi yang mesti dilawati atau dikunjungi oleh pelancong untuk melihat dan mempelajari berkaitan belangkas.

 

“Kami juga memberikan token kepada individu yang memaklumkan berkaitan pelepasan belangkas. Ia sebagai insentif kepada masyarakat untuk bersama-sama kita memulihara spesis yang banyak memberi manfaat kepada kita semua”. Katanya.

 

Dikeluarkan oleh :

 

PEJABAT KOMUNIKASI KORPORAT

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU