Langkawi, 28 Mac – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merupakan satu-satunya Universiti Awam yang menyertai Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA’19) yang bermula pada 26 sehingga 30 Mac 2019.

 

Pameran dwitahunan bertaraf dunia yang berlangsung dari 26 hingga 30 Mac itu menerima penyertaan delegasi perniagaan dari 32 negara dan 406 syarikat pertahanan serta komersial.

 

Kemuncak bagi penyertaan UMT dalam LIMA ‘19 kali ini adalah majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMT bersama International Green Training Centre Sdn. Bhd (IGTC) bagi meluaskan penglibatan kedua-dua agensi dalam bidang teknologi hijau dan pengangkutan maritim.

 

Pengarah Malaysian Maritime Logistic and Transport Centre (Maltrac) UMT, Dr. Mohamad Rosni Othman berkata, kerjasama itu akan memantapkan lagi peranan Maltrac yang akan melatih pelajar dan meningkatkan kompetensi dan profesionalisme dalam bidang logistik, pengangkutan dan teknologi hijau.

 

“Usaha ini secara tidak langsung akan meningkatkan kebolehpasaran pelajar UMT dalam bidang berkenaan yang turut mendapat perhatian kerajaan dalam usaha mencapai matlamat pembangunan mampan”.

 

Majlis MoU diadakan sempena LIMA’19 dan turut disaksikan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri.

Dalam majlis tersebut Naib Canselor UMT Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar mewakili UMT manakala IGTC diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Ismail Abdullah.

Sementara itu, Ismail berkata pihak IGTC berharap kerjasama dua hala ini dapat membantu UMT dalam menghasilkan modal insan yang profesional dalam bidang itu terutama apabila seluruh dunia kini mempraktikkan amalan teknologi hijau sebagai cara menjaga alam sekitar.

 

“Kepakaran kita adalah untuk membantu penuntut dengan mengubah cara bagaimana kita boleh capai status negara maju tanpa mengabaikan alam sekitar ini selain mengubah apa yang kita amalkan selama ini dengan memperkasakan sumber manusia. Tambahnya.

Merupakan universiti awam yang memfokuskan bidang tujahan ‘Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik’, UMT turut mengetengahkan aset utama iaitu RV (Research Vessel) Discovery, kapal yang digunakan untuk tujuan penyelidikan, pengajaran serta pembelajaran yang telah berlabuh di perairan Tanjung Malai pada 22 Mac bersedia menanti kunjungan orang ramai sempena LIMA ‘19.

 

UMT turut berperanan sebagai pempamer di Pavilion MOT juga akan mengadakan sesi Bicara Kerjaya pada 28 dan 29 Mac 2019 dan bakal membariskan para akademik yang juga merupakan saintis dari UMT untuk membicarakan isu dan hala tuju kerjaya serta gambaran keseluruhan mengenai bidang ‘Ilmu Kelautan’ yang menjadi bidang tujahan UMT selain daripada pameran saintifik dan hasil-hasil penyelidikan dan pelayaran.

 

 

 

 

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

09-6684418/4261