UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT raikan 2,542 graduan, 2 ijazah secara anumerta sempena Majlis Konvokesyen ke-19

UMT raikan 2,542 graduan, 2 ijazah secara anumerta sempena Majlis Konvokesyen ke-19

Sunday, 20/03/2022

Share This Article :

Sejumlah 2,542 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraikan detik penuh bersejarah sepanjang bergelar mahasiswa universiti itu sempena penganjuran Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu ke-19 bertempat di Dewan Sultan Mizan, UMT.

 

Pecahan itu terdiri daripada 1,884 graduan perempuan dan 658 graduan lelaki serta bakal menyaksikan kira-kira 370 graduan yang mendapat ijazah kelas pertama.

 

Penganjuran majlis itu berlangsung selama empat hari bermula 20 Mac 2022 mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan yang sedang berkuatkuasa.

 

Menariknya, majlis konvokesyen itu menampilkan tokoh-tokoh hebat yang telah menyumbang dalam pembangunan negara sebagai penerima anugerah khas.

 

Senat UMT telah bersetuju mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi kepada Tan Sri Mohammad Azlan Hashim yang juga mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UMT atas sumbangan dan kewibawaan memimpin badan-badan korporat serta membawa UMT sebagai gedung ilmu yang cemerlang diperingkat antarabangsa.

 

Selain itu, tokoh negarawan dalam bidang sukan berbasikal, Dato’ Mohd Azizulhasni Awang yang juga Karyawan Tamu Utama UMT turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Sains Sosial.

 

Sementara itu, UMT juga menganugerahkan anugerah khas kepada 11 graduan sempena majlis konvokesyen UMT ke-19. Antara penerima anugerah-anugerah tersebut ialah Fatonah Mohd Zaidi dan Tan Swe Lan (Anugerah Pelajaran Diraja), Nur Syafiqah Mohd Maulana (Anugerah Pingat Emas Canselor), Mohd ‘Ulul ‘Ilmie Ahmad Nazri dan Kamelia Moh’d Khier Ahmad Almomani (Anugerah Pro Canselor), dan Khoo Shing Ching (Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti).

 

 

UMT turut mengangkat pelajar-pelajar terbaik fakulti sebagai penerima Anugerah Naib Canselor iaitu Ng Keng Kee (Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Pembangunan Sosial), Jemimah Shalom A/P B Peragas (Fakulti Sains dan Sekitaran Marin), Dania Qarrina Azman (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik), Muhammad Izzat Aiman Mohd Zainal Abidin (Fakulti Pengajian Maritim) dan Arissa Mohd Arshad (Fakulti Perikanan dan Sains Makanan).

Penganjuran majlis itu turut menganugerahkan ijazah secara anumerta kepada dua pelajar yang cukup aktif dan dinamik iaitu Muhammad Rashidullah Masbah (Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Pembangunan Sosial) kerana mati lemas dan Nur Nabila Husna Zulkafli (Fakulti Perikanan dan Sains Makanan) yang meninggal dunia akibat penyakit Acute Pancreatitis.

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu