KUALA NERUS – Delegasi sukarelawan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini telah berjaya mengagihkan bantuan kepada mangsa tragedi gempa bumi tsunami yang melanda Kota Palu, Sulawesi baru-baru ini.

Misi bantuan kemanusiaan yang tiba di Palu dua hari lalu bersama-sama agensi lain menempuh perjalanan beberapa jam sebelum tiba ke lokasi dan bergotong royong membina kem penginapan sementara sepanjang berada disana.

Dr. Riswadi Azmi, pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud UMT merangkap ketua misi berkata, misi kemanusiaan ini digerakkan selepas melihat kesan bencana tsunami yang dahsyat.

“Alhamdulillah, kami berjaya memungut sumbangan berjumlah lebih RM20,000.00 dari pelbagai pihak termasuk orang perseorangan bagi menampung keperluan 1,000 penduduk yang terjejas.

”Selain bantuan berbentuk pek makanan dan keperluan asas, misi kemanusiaan ini juga menggunakan pendekatan pengisian rohani dan motivasi kepada mangsa terutamanya kanak-kanak.

“Ini juga sebagai komitmen UMT membantu mereka yang dilanda kesusahan dan sebagai medium dakwah mempromosikan keindahan islam di mata dunia.

“Saya mewakili kumpulan misi kemanusiaan UMT mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang membantu menggerakkan misi ini terutamanya pemberi sumbangan yang budiman kerana dengan sokongan semua pihak, misi kemanusiaan ini berjaya dilaksanakan.

Tambah Dr. Riswadi, pihaknya berharap rakyat Malaysia terus memberi sumbangan bagi tujuan pembelian perahu kecil untuk kegunaan nelayan.

“Pusat Islam Sultan Mahmud UMT masih membuka ruang kepada orang ramai untuk mehulurkan sumbangan bagi menjayakan misi kemanusiaan 2.0 bagi mendapatkan bot-bot atau perahu kecil untuk untuk diberikan kepada nelayan yang hilang mata pencarian ekoran bot-bot milik mereka musnah dibadai ombak tsunami”. Katanya.

 

Untuk keterangan lanjut :

 

Dr. Riswadi Azmi

Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud UMT

Merangkap Ketua Misi Kemanusiaan Palu

Universiti Malaysia Terengganu

Tel : 019-9852143

Emel : riswadi@umt.edu.my

 

 

 

Dikeluarkan Oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu