UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PEMINDAHAN ILMU UMT-KOMUNITI TINGKATKAN SOSIOEKONOMI SEDILI

From Google

PEMINDAHAN ILMU UMT-KOMUNITI TINGKATKAN SOSIOEKONOMI SEDILI

Tuesday, 30/05/2023

Share This Article :

Kota Tinggi, 28 Mei– Bertepatan dengan slogan ‘Universiti untuk Masyarakat’, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)  sekali lagi tampil bersama komuniti melalui program Semarak Masyarakat Kota Tinggi dengan membawa kepakaran UMT dalam bidang yang bersesuaian, dengan harapan memberi impak dan lonjakan dari segenap aspek kepada masyarakat dan pemain-pemain industri yang terlibat.

Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi dalam ucapan perasmiannya berkata, inisiatif UMT dalam penganjuran berimpak kepada masyarakat di Kota Tinggi khususnya kawasan Sedili merupakan peluang masyarakat dalam meningkatkan taraf ekonomi, sosial dan pembangunan masyarakat Sedili.

Tambahnya pengisian program yang dilaksanakan oleh UMT meliputi program pemindahan ilmu, pameran projek penyelidikan dan program tanggungjawab sosial dengan libatsama masyarakat yang dianjurkan tidak terhenti di sini dan akan berterusan demi pembangunan, kemajuan dan transformasi masyarakat.

“Dalam usaha memaju masyarakat menjadi inovatif dan berdaya saing, pihak kementerian memberi tumpuan berdasarkan konsep Madani. Ia merangkumi aspek penerokaan teknologi, mewujudkan kajian bidang-bidang baharu dimana penumpuan kepada penyelesaian masalah dalam pencorakan masa hadapan serta meningkatkan potensi rakyat serta negara”.

Ujarnya lagi konsep Madani telah diterjemah dengan pengisian program pada hari ini melalui peranan semua pihak yang terlibat untuk bersama-sama bertindak membantu penyelesaian isu-isu semasa khususnya melibatkan masyarakat pelbagai peringkat sama ada B40, kumpulan nelayan, ibu tunggal, anak-anak pelajar dan lain-lain  demi kemampanan sosial dan ekonomi negara.

“Hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga menjadikan universiti sebagai pusat ilmu yang unggul dan lestari yang mampu berbakti kepada masyarakat. Oleh itu, pihak kementerian sentiasa bersama universiti dalam usaha memakmurkan negara dan mensejahterakan kehidupan masyarakat secara inklusif.

“Keterlibatan universiti dan komuniti memberi nilai tambah, meneroka dan memahami isu-isu yang dihadapi, memberi pengetahuan baharu agar masyarakat dapat merasai kehadiran universiti dan warganya sebagai sebahagian daripada masyarakat”.

Sementara itu Profesor Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar, Naib Canselor UMT berkata UMT sentiasa menitikberatkan tiga peranan utama universiti, iaitu penjanaan ilmu baharu melalui penyelidikan berimpak, penyebaran ilmu baharu terutamanya melalui program akademik berkualiti kepada pelajar serta pemindahan ilmu berasaskan penyelidikan terutamanya dalam usaha mengemukakan penyelesaian kepada pelbagai masalah sains, teknologi dan taraf sosio-ekonomi Negara.

Menurut Mazlan lagi pihak UMT sentiasa memanfaatkan kepakaran yang ada di universiti untuk diterjemahkan demi kebaikan dan memberikan impak kepada komuniti, industri dan Negara.

Antara inisiatif UMT untuk membantu pembangunan komuniti adalah melalui pemindahan dan asimilasi ilmu serta teknologi yang dihasilkan oleh penyelidik melalui dana dalaman – Skim Geran Penyelidikan Translasional UMT.

Program Semarak Masyarakat Kota Tinggi diisi dengan sesi perkongsian ilmu daripada penyelidik UMT dengan sub-program sesi perkongsian ilmu berkaitan penghasilan sabun dari minyak masak terpakai, ternakan Kelulut, Tanaman Cendawan Tiram, produk hiliran berasaskan ikan, projek teknologi ternakan Ketam Nipah, Projek Teknologi & Peralatan Perikanan dan Projek Pemerkasaan Masyarakat untuk Penuaian Mapan Sumber Tumbuhan Pantai (Pokok Gelam), Projek Artemia dan Projek Black Soldier Flies  (Larva Lalat Askar Hitam) kepada nelayan setempat, Ibu Tunggal, Belia dan golongan B40.

Untuk rekod, kejayaan projek kelulut UMT di Batu Pahat, Johor dan di Besut Terengganu, melibatkan ibu tunggal di sekitar kawasan tersebut, telah membantu mereka menjana pendapat sekitar RM 1000 sebulan merupakan kejayaan UMT-komuniti dalam pemindahan ilmu.

Turut dilaksanakan dalam program kali ini adalah sesi penyerahan Surat Niat Kerjasama di antara Fakulti Perikanan dan Sains Makanan dengan K Bees Sdn Bhd berkaitan kerjasama dalam teknologi penternakan Lebah Kelulut.

Bagi memastikan program yang dijalankan benar-benar memberi manfaat kepada komuniti Kota Tinggi, UMT juga mengambil pendekatan bersepadu dengan libatsama pihak industri.

Dalam masa yang samaa, UMT turut menyantuni masyarakat Sedili dengan kehadiran Sekretariat Anak Johor UMT atau singkatannya SOHOR. Kelab ini giat melaksanakan Program Jelajah Johor, dan Sedili merupakan kawasan siri jelajah yang ke-11 bagi penganjuran kali ini.

Pelbagai pengisian menarik dan ilmiah dilaksanakan oleh seramai 40 orang mahasiswa UMT bersama keluarga angkat di Komuniti Kg. Sedili Besar merangkumi kluster pendidikan, kebudayaan, sosial dan keluarga komuniti.

Program yang bersifat serampang dua mata ini amatlah diperlukan oleh kedua-dua pihak kerana pengisian program bukan sahaja membantu komuniti setempat memperoleh ilmu pengetahuan, malah para mahasiswa juga dapat meningkatkan kemahiran generik serta mendapat peluang untuk melibatkan diri secara aktif sebagai ahli jawatankuasa program.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu