UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT, UMRAH kukuhkan kerjasama

UMT, UMRAH kukuhkan kerjasama

Wednesday, 15/11/2023

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengukuhkan lagi hubungan dua hala merentasi sempadan melalui perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universitas Maritim Raja Ali Haji (UMRAH), Indonesia.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata pemeteraian kolaborasi itu dijangka membuka lebih banyak peluang khususnya berkaitan sumber perikanan dan maritim yang memberi impak kepada kedua-dua pihak.

“Hubungan antara UMT dan UMRAH telah terjalin beberapa tahun dahulu diikuti dengan pemeteraian surat niat (LoI) sebelum ini.

“Kita jangkakan pemeteraian ini menjadi platform untuk membuka peluang yang lebih besar khususnya kepada pelajar dan pensyarah kedua-dua universiti untuk merebut peluang dari aspek penyelidikan dan pembangunan.

Katanya, UMT dan UMRAH mempunyai ciri persamaan yang sinonim berdasarkan nic dan lokasi.

“Berdasarkan ciri persamaan lokasi dan nic antara UMT dan UMRAH, pelbagai aktiviti bakal dianjurkan berkaitan penyelidikan, penerbitan, penganjuran seminar dan program-program pengembangan untuk manfaat kedua-dua universiti dan masyarat setempat.

Tambahnya, UMT mengalu-alukan kakitangan daripada UMRAH untuk meningkatkan taraf akademik di UMT.

“Kita mempunyai empat buah Institut yang khusus dalam menaikkan citra penyelidikan di UMT iaitu Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP), Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi Marin (ICAMB) dan Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IPBTL) serta sebuah Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL).

“Melihat kepada statistik tenaga pengajar di UMRAH yang hanya memiliki 40 peratus berkelulusan PhD, kami di sini mengalu-alukan kakitangan UMRAH untuk tingkatkan keupayaan bidang akademik  yang mungkin boleh mencapai ke tahap 80 peratus pada masa akan datang.

Prof. Dato’ Dr. Mazlan berkata, hasil penyelidikan yang dijalankan oleh universiti perlu di asimilasikan kepada komuniti untuk dimanfaatkan seiring dengan dasar Kementerian Pengajian Tinggi bersesuaian dengan slogan ‘University for Society’.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu