UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Kempen kesedaran marin perlu berterusan, tanggungjawab bersama

From Google

Kempen kesedaran marin perlu berterusan, tanggungjawab bersama

Thursday, 08/06/2023

Share This Article :

Usaha yang dilakukan untuk menyelamatkan lautan dilihat masih berada pada tahap rendah. Walaupun dunia telah mengambil inisiatif memperkenalkan Hari Lautan Sedunia (World Oceans Day) tanggal 8 Jun lebih 30 tahun lalu sempena penganjuran Earth Summit di Rio de Jeneiro, namun impaknya masih tidak menampakkan kesan besar.

Hakikatnya masih ramai kalangan masyarakat khususnya negara Malaysia yang memandang enteng akan kepentingan budaya penjagaan alam sekitar terutamanya ‘kesihatan’ laut.

Golongan ini seakan tidak sedar sumbangan lautan yang lestari kepada kehidupan manusia yang tidak terhitung nilainya seperti bekalan oksigen untuk sistem pernafasan semulajadi, penangkapan hasil laut yang mencukupi, keseimbangan cuaca dan iklim serta lain-lain.

Kesan buruk akibat pengabaian penjagaan alam sekitar seperti pembuangan sisa pepejal secara tidak bersistematik, sistem pengurusan sisa toksik yang tidak cekap, aktiviti pembuangan sampah di kawasan sungai yang akhirnya menyebabkan lautan tercemar. Secara tidak langsung ia memberi kesan terhadap hidupan marin yang menganggap sampah-sampah berada di lautan sebagai makanan.

Selain itu, pencemaran plastik yang serius di lautan turut menyumbang kepada bahaya mikroplastik. Mikroplastik terhasil daripada partikel kecil bersaiz mikro yang terurai dan berada di lautan dan ia juga turut berada dalam hidupan laut seperti ikan. Tidak sekadar itu, manusia yang memakan ikan tersebut turut memakan mikroplastik yang mungkin boleh mengganggu tahap kesihatan bergantung kepada tahap pengambilan.

Kajian menunjukkan kira-kira 80 peratus plastik datang daripada sumber daratan yang dibawa oleh parit dan sungai ke lautan dan disebabkan lautan yang luas tiada sempadan fizikal, dianggarkan kini antara 15 hingga 51 trilion kepingan plastik berada di permukaan dan dasar lautan dunia.

Menurut Penyelidik Mikroplastik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr. Yusof Shuaib Ibrahim manusia menerima kira-kira 5gram mikroplastik dalam tempoh seminggu dan ia bersamaan dengan sekeping kad kredit. Penemuan ini amat membimbangkan!

Kegagalan kempen Hari Lautan Sedunia juga terbukti dengan adanya laporan berkaitan kematian penyu saban hari. Terkini, tular seekor penyu mati yang dijumpai orang awam di Pantai Pandak, Chendering Terengganu akibat perbuatan khianat dan tidak berperikemanusian. Penyu tersebut dijumpai dengan kesan hentakan yang kuat menyebabkan cangkerangnya pecah serta kakinya diikat dengan batu. Perkara seperti ini menguatkan lagi bahawa masyarakat belum memahami hubung kait antara lautan dan manusia.

Bersempena dengan sambutan Hari Lautan Sedunia, Universiti Malaysia Terengganu melalui Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) turut menganjurkan beberapa aktiviti bagi menyokong usaha melindungi lautan dan ekosistem marin. Antara aktiviti yang dianjurkan seperti pameran galeri marin sempena hari terbuka INOS, Program Beach Clean Up, Puppet Story Telling, Blue School Project, Bring Our Turtles Back, Sea Turtle Conservation Program dan lain-lain.

Justeru, semua pihak diseru untuk bersama-sama berganding bahu dalam usaha menyebarluaskan kesedaran kepentingan penjagaan alam sekitar khususnya lautan demi kesejahteraan kehidupan kita bersama.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu